top of page

Perkenal cukai khas atasi lambakan rumah mewah


Perkenal cukai khas atasi lambakan rumah mewah.
PEMAJU perlu segera menghentikan penjualan dan pembinaan perumahan mewah yang sedang menjadi trend ketika ini. – Gambar hiasan

Perkenal cukai khas atasi lambakan rumah mewah.

BARU-BARU ini, terdapat laporan daripada Jabatan Statistik Negara yang menyatakan bahawa sebanyak 27,746 hartanah yang telah disiapkan dengan nilai keseluruhan RM18.45 bilion


Bagaimanapun, hartanah tersebut masih belum terjual menjelang akhir tahun lalu.


Menurut kenyataan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, daripada jumlah tersebut, terdapat 9,323 rumah yang belum terjual dengan nilai antara RM500,001 hingga RM1 juta.


Fakta ini menunjukkan bahawa trend pembinaan perumahan oleh pemaju kini lebih tertumpu kepada perumahan mewah.


Hakikatnya, jumlah penduduk Malaysia yang mampu memiliki rumah dalam kategori ini hanya melibatkan golongan T20 iaitu mewakili 20 peratus daripada keseluruhan penduduk.


Akibat lambakan rumah mewah yang tidak dapat dijual, terdapat banyak perumahan terbengkalai kerana kos pembinaan yang tinggi di kawasan sekitar Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur.


Kajian rawak menunjukkan bahawa pembinaan perumahan mewah di beberapa kawasan ini tidak berdasarkan tinjauan pasaran yang tepat.


Hanya sebahagian kecil perumahan yang berjaya dijual iaitu sekitar 30 hingga 40 peratus daripada jumlah perumahan ditawarkan.


Keadaan ini menyebabkan perumahan-perumahan tersebut terbengkalai dan merosakkan pemandangan, selain menjadi masalah dalam pengurusan bangunan itu.


Sehingga hari ini, negara yang melaksanakan cukai harta yang tidak terjual hanya Singapura.


Negara tersebut mengenakan cukai ABSD (duti setem pembeli tambahan) sebanyak 30 peratus (5 peratus yang tidak boleh dipulangkan selepas pemilikan) ke atas harta yang tidak terjual selepas lima tahun dari tarikh pembelian tanah.


Selain itu, Singapura mengenakan cukai QC (sijil kelayakan) sebanyak 8 peratus ke atas pembangunan asing.


Skim QC ini memerlukan pembangunan selesai dalam lima tahun dan semua unit terjual sepenuhnya dalam masa dua tahun selepas selesai.

Perkenal cukai khas atasi lambakan rumah mewah.
Masyarakat tempatan yang mampu memiliki perumahan mewah adalah golongan T20 iaitu mewakili 20 peratus penduduk di negara ini. – Gambar hiasan

Caj sambungan adalah 8 peratus daripada kos tanah untuk tahun pertama sambungan, 16 peratus untuk tahun kedua dan 24 peratus untuk tahun ketiga dan seterusnya.


Dengan memperkenalkan kos perumahan tidak terjual ini, kerajaan dapat menambah pendapatan dengan mengenakan cukai yang semakin meningkat saban hari.


Pengenalan cukai ini bertujuan mendorong pemaju hartanah untuk lebih bertanggungjawab dalam merancang projek mereka, terutamanya pembangunan perumahan mewah.


Ia juga bertujuan mengurangkan lambakan unit perumahan mewah yang ada di negara ini.


Pemaju perlu menghentikan penjualan dan pembinaan perumahan mewah yang sedang menjadi trend pada masa ini.


Ini kerana situasi Malaysia tidak sama seperti Singapura, di mana pemilikan hartanah dengan kos yang tinggi mudah terjual.


Ia disebabkan negara republik itu menarik pelbagai pembeli asing dengan kuasa membeli yang tinggi.


Namun begitu, Malaysia adalah sebuah negara yang masih membangun, dengan sebahagian besar penduduknya bergantung kepada perumahan disediakan oleh kerajaan untuk memiliki kediaman terutamanya di bandar-bandar besar.


Setelah pandemik Covid-19 berakhir, pemaju tidak lagi mempunyai alasan untuk menyatakan kesukaran dalam mencari pembeli.


Namun kini, pembeli lebih berhati-hati dan peka terhadap harga serta memberi penekanan kepada lokasi perumahan yang memberi manfaat kepada kualiti hidup mereka dalam jangka masa panjang.


Oleh itu, pemaju hartanah seharusnya mengembalikan perhatian kepada prinsip asas pembangunan hartanah, iaitu menyediakan perumahan berkualiti kepada pemiliknya.


Pemaju juga perlu memahami hubungan yang saling berkait antara harga rumah, saiz dan lokasi ketika menentukan jenis produk yang akan dibangunkan serta kumpulan pembeli disasarkan.


Selain itu, pemaju perlu mempertimbangkan kesan sosial dan tidak hanya memfokuskan terhadap aspek keuntungan semata-mata.


Sumber: Kosmo!


Perkenal cukai khas atasi lambakan rumah mewah.

Comments


bottom of page