top of page

Perjanjian projek Melaka Gateway ditamatkan



Ayer Keroh: Kerajaan negeri menamatkan perjanjian penambakan laut bersama KAJ Development (KAJD) Sdn Bhd iaitu syarikat pemaju Pembangunan Melaka Gateway di Pulau Melaka, di sini, berkuat kuasa 3 Oktober lalu.


Kenyataan Pejabat Ketua Menteri Melaka berkata, perjanjian yang bermula sejak 4 Oktober 2017 itu ditamatkan berikutan syarikat berkenaan didapati gagal menyiapkan projek mengikut tempoh ditetapkan.


Katanya, satu notis penamatan perjanjian sudah dikemukakan kepada syarikat terbabit, hari ini.


"Mereka (syarikat) juga dikehendaki menyerahkan tapak projek berkenaan berkuat kuasa daripada notis penamatan itu dikeluarkan oleh kerajaan Melaka," katanya.


Susulan itu, katanya, segala urusan berbangkit mengenai tapak projek Melaka Gateway hendaklah berhubung terus dengan kerajaan negeri.


Melaka Gateway ialah projek pembangunan komersial bercampur di kawasan seluas 246.4 hektar terdiri daripada tiga pulau baru dengan dua daripadanya adalah buatan manusia yang dijangka siap pada 2025.


Nilai bagi projek berkenaan adalah RM43 bilion.


Ia dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Februari 2014.


Projek itu disifatkan dapat membantu sasaran kerajaan menerima kunjungan 36 juta pelancong menjelang 2020.


Projek itu merangkumi 12 presint antaranya pusat hiburan, pusat fesyen antarabangsa, penempatan dan aktiviti kapal layar taman bersejarah, taman kebudayaan dan resort pelancongan yang bakal menawarkan 15,000 peluang pekerjaan.


Sumber: Harian Metro


Comments


bottom of page