Ipoh: Perak mula menerima bayaran royalti pertama berjumlah RM1.66 juta daripada pihak penggerak projek perintis unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Mukim Kenering, Hulu Perak.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan), berkata hasil royalti berjumlah RM1,658,425 itu membabitkan pengeksportan pertama produk akhir lombong iaitu nadir bumi karbonat (REC) ke China.
Beliau berkata, bayaran itu membabitkan pengeksportan pertama REC yang meliputi 296.1945 tan metrik bagi penghantaran untuk Februari 2023.
Katanya, sehingga kini 4,477.039 metrik tan REC dieksport ke China melalui empat penghantaran iaitu pada bulan Februari, Mac dan April 2023 dengan baki REC yang masih berada di tapak adalah sebanyak kira-kira 1,000 tan metrik.
Beliau berkata demikian dalam sesi soalan lisan pada Persidangan DUN Perak, hari ini yang dibangkitkan Goh See Hua (PH - Pasir Pinji) mengenai perkembangan terbaru projek perlombongan rintis lantanid di Gerik itu.
Projek perintis NR-REE yang dilaksanakan di kawasan seluas 84.6 hektar itu memulakan operasi pada Oktober tahun lalu selepas kelulusan dari segi perundangan yang berkaitan diperoleh daripada agensi teknikal dan kebenaran beroperasi daripada pihak berkuasa negeri.
Menjawab kebimbangan Koo Haai Yen (PH - Keranji) mengenai kemungkinan pelepasan unsur radioaktif melalui perlombongan itu, Saarani berkata perlombongan NR-REE tidak akan menghasilkan bahan radioaktif memandangkan tahap kepekatan radioaktif semula jadi bahan itu tidak melebihi kadar tertentu.
"Perlombongan NR-REE tidak akan menghasilkan bahan radioaktiviti kerana tahap kepekatan radioaktiviti semula jadinya tidak melebihi 1.0 Bq/g atau masing-masing 246.5 ppm torium atau 80.9 ppm uranium atau 10 Bq/g kalium.
"Ia sebagaimana ditetapkan di bawah Jadual Kedua, Peraturan Pelesenan Tenaga Atom (Pengurusan Sisa Radioaktif) 2011," katanya.
Sumber: Harian Metro
Comentários