top of page

Perak laksana projek penginapan pekerja berpusat


Perak laksana projek penginapan pekerja berpusat Astro Awani www.astroawani.com
Saarani berkata, projek perintis penempatan itu dimulakan di Asrama Murni di Jelapang boleh menempatkan 368 orang pekerja. - Gambar/ Astro AWANI

IPOH: Perak memulakan projek menyediakan penginapan pekerja berpusat (CLQ) untuk pekerja asing, bagi menyokong pertumbuhan perindustrian dan pembangunan ekonomi negeri.


CLQ akan dibina dan diuruskan dengan mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446) selaras dengan undang-undang buruh antarabangsa.


Ia bertujuan memberi penekanan terhadap kesejahteraan pekerja, termasuk menetapkan piawaian minimum perumahan bagi golongan pekerja. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek perintis penempatan itu dimulakan di Asrama Murni di Jelapang, dekat sini, yang boleh menempatkan 368 orang pekerja.


Menurutnya, projek itu akan diperluaskan di kawasan perindustrian berskala besar seperti Kawasan Estet Perindustrian Kerian, Taman Perindustrian Kamunting, Silver Valley Technology Park (SVTP), Kawasan Perindustrian Daerah Kinta, Tanjung Malim, Taman Perindustrian Bemban, Batu Gajah, LMT 2 di daerah Manjung serta Seri Iskandar.


“Melalui inisiatif ini juga, kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan untuk mengenal pasti cukai dan insentif lain untuk menggalakkan pelaburan lebih besar oleh sektor swasta dalam pembinaan dan pengurusan CLQ di atas tanah perindustrian untuk sektor pembuatan,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi taklimat dan lawatan ke Asrama Murni, di sini, hari ini.


Jelasnya, projek itu dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan syarikat Advancecon Holdings Berhad (AHB).


Menurutnya, projek CLQ Perak dijangka mencapai kapasiti 12,000 orang dalam tempoh lima tahun lagi, bagi menyokong sektor perindustrian yang semakin meningkat.


“Pembinaan CLQ yang berada berdekatan kawasan perindustrian dapat memudahkan pekerja industri atau kilang dengan memendekkan masa perjalanan ke tempat kerja.


“Ia juga dapat mengatasi masalah yang disuarakan oleh penduduk tempatan yang sering membantah pembinaan CLQ atau penempatan pekerja asing di kawasan kediaman sedia ada,” tambahnya.


Menurutnya, projek itu akan memberi impak baharu dalam pembangunan kemudahan infrastruktur serta memudahkan penguatkuasaan kerajaan dalam menguruskan pekerja asing sekali gus memberi imej baharu kepada Malaysia di pentas antarabangsa.


Sumber: Astro Awani


留言


bottom of page