PARIT: Perak mengharapkan kerajaan Pusat bersetuju terhadap cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Seri Iskandar terletak di kawasan Perak Tengah, bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi di negeri.
Lapangan tersebut dilihat mampu memenuhi keperluan negeri untuk bersedia menerima limpahan pelaburan terutama Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) yang berpotensi mencipta pelaburan sehingga RM72 bilion bagi tempoh 25 tahun akan datang.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihak negeri sudah ada tanah yang sesuai untuk dibangunkan lapangan terbang tersebut.
Katanya, cadangan itu masih tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan (Mof) dan Kementerian Pengangkutan (MoT).
“Tanah kita ada. Cuma cadangan ini tertakluk kepada persetujuan MoT dan MoF. Kalau mereka setuju, dapatlah kami. Kalau tidak setuju, tidak upayalah. Tapi kita harap mereka setujulah untuk jangka masa panjang,” katanya kepada pemberita selepas program Tanya Cikgu Saarani di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar di sini hari ini.
Pada Julai lalu, dilaporkan infrastruktur tersebut dicadangkan dibina di tapak seluas 1,618.7 hektar dan sudah memasuki kajian lapangan yang dikendalikan syarikat kejuruteraan berpangkalan di United Kingdom, Colebrand International Limited.
Dalam program tersebut, Saarani meluangkan masa hampir dua jam untuk bercakap di hadapan kira-kira lebih 500 pelajar dari sekolah dan institut pengajian tinggi di kawasan tersebut bagi menghuraikan kepentingan pelan Perak Sejahtera 2030.
Kata beliau dalam pertemuan tersebut, pelan berkenaan penting untuk menyediakan pekerjaan serta mengurangkan migrasi anak Perak ke negeri lain semata-mata mahu mencari peluang ekonomi.
Saarani berkata, perjumpaan dengan golongan muda adalah penting bagi menjelaskan rancangan yang sedang disusun oleh kerajaan negeri.
“Mereka perlu tahu dan memahami pelan Perak Sejahtera 2030. Kita beri mereka maklumat dan pada masa sama beri peluang kepada mereka untuk bertanya,” katanya.
Antara soalan yang ditanya oleh peserta adalah mengenai peluang pekerjaan, nasib pelajar bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau bukan TVET serta projek-projek pengangkutan.
Sumber: Utusan
Perak harap projek lapangan terbang Seri Iskandar diluluskan
Comments