top of page

Penyelia kilang maut terjatuh dalam 'curing chamber'


PENYELIA kilang warga tempatan maut selepas terjatuh ke dalam ruang pengekalan kelembapan konkrit atau ‘curing chamber’ sedalam tiga meter dalam kejadian di kawasan perindustrian Pasir Gudang, malam kelmarin.


Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, Ir Dasuki Mohd Heak berkata, mangsa berusia 51 tahun maut ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pasir Gudang akibat parah.


Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa bersama operator mengawasi proses perawatan dengan wap atau ‘steam curing’ untuk cerucuk.


“Mangsa memanjat dan berdiri di atas penutup ‘chamber’ untuk memastikan cerucuk boleh diteruskan ke proses seterusnya.


“Kemalangan berlaku apabila mangsa berdiri di atas penutup chamber dan tergelincir ke dalam chamber sedalam tiga meter bersama penutup chamber,” katanya dalam kenyataan pagi ini.


Katanya, mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Penawar Pasir Gudang untuk menerima rawatan lanjut.


“Bagaimanapun dia yang berpengalaman tujuh tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya.


Katanya, berikutan kejadian itu, siasatan dijalankan sebelum satu notis pemberhentian kerja ke atas semua operasi kilang dikeluarkan kepada majikan.


“Tindakan perundangan akan diambil sekiranya siasatan mendapati terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.


“JKKP memandang serius setiap insiden dan kemalangan yang berlaku terutama membabitkan pekerja mahupun orang awam,” katanya.


Semua penggiat industri digesa bergerak seiring dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk menjadikan tempat kerja selamat dan sihat melalui penerapan budaya pencegahan.


Sumber: Harian Metro


Comments


bottom of page