top of page

Penolong Jurutera, dua kontraktor direman buat tuntutan palsu


SHAH ALAM - Seorang penolong jurutera sebuah agensi kerajaan di Klang di sini direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan membuat tuntutan palsu kerja-kerja pendawaian rumah api di Kuala Selangor bernilai RM40,017.80 pada 2017.


Lelaki berusia 40 tahun itu direman bersama dua beranak yang merupakan kontraktor sebuah syarikat masing-masing berusia 63 dan 34 tahun. 


Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Rini Triany Muhamad Ali di Mahkamah Majistret Shah Alam. 


Terdahulu, ketiga-tiga suspek tersebut tiba di mahkamah pukul 10.50 pagi memakai baju lokap tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tangan bergari.


Menurut sumber, mereka ditahan pukul 3.45 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor. 


Katanya, dua kontraktor itu disyaki telah mengemukakan tuntutan penuh kerja-kerja pendawaian semula rumah api di Kuala Selangor pada 2017 dengan penolong jurutera itu telah memperakukannya. 


"Tuntutan palsu itu dibuat sedangkan kerja-kerja yang dibuat tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan bernilai RM40,017.80.


"Kes disiasat mengikut seksyen 18 ASPRM 2009," katanya ketika ditemui Kosmo! Online hari ini. 


Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkannya itu namun enggan mengulas lanjut.


Sumber: Kosmo!


Comments


bottom of page