PEMBANGUNAN lestari bukanlah satu agenda baharu yang dipukul canang oleh kerajaan Malaysia. Malahan agenda yang membawa ke arah pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ini telah diperkenalkan sejak dua dekad yang lalu. Dalam tempoh itu, pelbagai usaha telah dijalankan menerusi pelbagai pembangunan polisi, garis panduan dan beberapa program yang berteraskan lestari. Antara yang diperkenalkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB) termasuklah CIMP 2006-2015, CITP 2016-2020, dan terkini Dasar Pembangunan Negara 2030 (NCP 2030).
Apa yang jelas, NCP 2030 yang berasaskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), membayangkan negara kita menjadi sebuah negara maju dan mampan dengan pengagihan ekonomi yang inklusif. Pembangunan WKB 2030 adalah bertujuan untuk mencapai tiga matlamat utama iaitu menyusun semula ekonomi di semua peringkat masyarakat, mengurangkan ketidaksamaan dan membina negara.
Selari dengan perkara ini, keringat pemain industri binaan amat diperlukan dalam memastikan agenda ini bukan sekadar sembang kedai kopi. Pembangunan infrastruktur sosial berkonsepkan hijau yang merujuk kepada pembangunan ruang dan kemudahan awam yang mampan dan mesra alam perlu dijadikan keutamaan (priority) dalam agenda pembangunan negara. Ini kerana, ia menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat. Di mana ia merangkumi reka bentuk, pembinaan, dan pengurusan infrastruktur fizikal, seperti taman, gereja, masjid, taman, hutan bandar, bumbung hijau, pusat komuniti dan kemudahan rekreasi.
Dengan pembangunan infrastruktur hijau yang semakin rancak dijalankan, pastinya ia dapat memberikan banyak faedah kepada masyarakat. Hal ini termasuklah dari segi kesihatan fizikal dan mental yang lebih baik, perpaduan sosial yang menyeluruh, mengurangkan kesan pulau haba bandar, dan juga pemuliharaan biodiversiti. Tambahan daripada itu, fokus utama harus diberikan kepada kelestarian ekologi, penglibatan sosial dan kebaikan kepada komuniti.
Pembangunan berteraskan hijau ini juga dilihat mampu mewujudkan persekitaran bandar yang lebih harmoni dan mampan serta bandar berdaya tahan. Sesuatu pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur sosial berteraskan hijau tidak akan tercapai tanpa penglibatan pelbagai pihak berkepentingan, termasuklah komuniti tempatan, agensi kerajaan, pertubuhan tanpa untung, entiti sektor swasta dan institusi akademik.
Dalam memastikan objektif pembangunan ini tercapai, penglibatan komuniti (Community Engagement) secara sistematik dan proaktif amat diperlukan sama ada di peringkat lokal mahupun global. Walaupun di Malaysia, penglibatan komuniti dalam pembangunan projek masih dianggap janggal dan agak kekok untuk dilaksanakan, namun amalan ini perlu diterapkan dalam memastikan projek adalah relevan, inklusif dari segi sosial dan mampan alam sekitar dan memenuhi keperluan masyarakat.
Berdasarkan kajian-kajian yang dijalankan di negara maju seperti UK, Australia, Amerika Syarikat dan Singapura, penglibatan komuniti setempat biasanya diterapkan dalam proses membuat keputusan awal. Ia penting dalam mengenalpasti keperluan khusus dan aspirasi masyarakat secara berkesan dan telus dalam sesuatu pembangunan. Yang mana ia membawa kepada hasil yang lebih baik, membolehkan pemahaman yang lebih komprehensif tentang keutamaan dan kebimbangan komuniti. Bukan itu sahaja, malah melalui penglibatan komuniti ini ia mampu menggalakkan keterangkuman sosial dengan memastikan suara mereka tidak dipinggirkan, didengari dan dipertimbangkan dengan sewajarnya.
Daripada perspektif alam sekitar, penglibatan komuniti dalam pembangunan infrastruktur sosial hijau membolehkan pengenalpastian penyelesaian mampan yang sejajar dengan nilai dan keutamaan alam sekitar tempatan. Ini boleh membawa kepada pemeliharaan dan peningkatan sumber asli, penyepaduan teknologi hijau, dan penggalakan amalan mampan dalam reka bentuk dan pengurusan infrastruktur.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kesan jika suara komuniti tidak diambilkira semasa proses membuat keputusan dijalankan. Natijahnya, pembangunan infrastruktur yang dijalankan mungkin tidak memenuhi keperluan dan kehendak sebenar masyarakat. Kesannya lagi, ia turut mengakibatkan kekurangan kepercayaan dan tentangan daripada komuniti, yang boleh membawa kepada kelewatan projek, konflik, atau bahkan pengabaian.
Selain itu, dengan tidak mengambil endah kumpulan tertentu daripada menyertai dalam perbincangan awal projek boleh mengekalkan ketidaksamaan sosial dan menjejaskan kemampanan dan keberkesanan keseluruhan infrastruktur. Oleh yang demikian, adalah penting bagi pihak berkepentingan untuk menggunakan pendekatan ini dengan mempertimbangkan kemajuan teknologi dalam komunikasi digital dan pertukaran maklumat, untuk berhubung dengan masyarakat secara holistik, telus dan efektif.
Justeru itu, pihak berkepentingan terutamanya pihak klien memainkan peranan penting dalam melibatkan komuniti bagi sesuatu pembangunan projek infrastruktur sosial yang berteraskan hijau. Kepakaran, pengetahuan dan kemahiran mereka amat diperlukan dalam memastikan komunikasi, kerjasama dan penglibatan komuniti yang berkesan sepanjang kitaran hayat projek. Langkah penting dalam penglibatan komuniti adalah mengintegrasikan pihak berkepentingan ke dalam komuniti untuk menjadi sebahagian daripada komuniti.
Bukan itu sahaja, menyelidik budaya komuniti dan meneliti dokumen pentadbiran komuniti juga amat penting. Dengan adanya maklumat lengkap dan gaya komunikasi berkesan yang memudahkan perkongsian maklumat yang jelas dan telus antara pihak berkepentingan projek dan komuniti. Dengan itu, ia dapat memastikan rancangan, objektif dan kemajuan projek disampaikan secara berkesan kepada masyarakat.
Sumber: Utusan
Penglibatan komuniti bantu tingkatkan prestasi projek lestari
Comments