top of page

Penghapusan tol, sekadar penyedap hati

Oleh: DATUK SERI MOHAMAD HASAN


Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah mengumumkan keputusan untuk mengambil alih konsesi dan menghapuskan bayaran tol secara berperingkat.


Untuk tujuan tersebut, satu sistem dan kadar baharu tol telah diperkenalkan yang meliputi waktu puncak (kadar se­perti sedia kala), bukan waktu puncak (potongan 30 peratus) dan waktu biasa (percuma). Langkah ini dilihat oleh sesetengah pihak sebagai langkah kerajaan PH melunaskan janji penghapusan tol yang dinyatakan dalam manifesto yang lepas.


Saya menghargai usaha kerajaan PH untuk cuba memenuhi janji-janji manifesto dan tidak hanya menawarkan harapan palsu.


Yang lebih penting, saya mengalu-alukan apa jua bentuk bantuan yang boleh meringankan beban kos sara hidup rakyat.


Namun, terdapat beberapa isu signifikan berkenaan dengan cadangan ini yang harus diperhalusi dengan lebih mendalam dan berobjektif. Pertama, adakah inisiatif ini bertujuan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat atau mengurangkan kesesakan dan penggunaan tol atau meringankan hutang kerajaan atau apa sebenarnya?


Persoalan ini penting memandangkan mekanisme yang diperkenalkan kerajaan ini kelihatan mengelirukan. Sebaliknya, kelihatan sekadar pengumuman yang bersifat window dressing yang dibuat untuk mencipta kesan menggembirakan yang sementara. Misalnya, kadar percuma waktu biasa iaitu dari jam 11 malam sehingga 5 pagi. Bukankah pada waktu ini penggunaan tol bukan lagi bersifat keperluan mendesak seperti yang terpaksa dilalui oleh majoriti pengguna dari golongan kelas bekerja (working class)?


Jadi, ia sebenarnya tidak akan memberikan impak optimum dalam cubaan meringan kos sara hidup rakyat kerana penggunaan tol secara terpaksa adalah semasa waktu puncak. Kedua, usaha ini pastinya masih tidak selari janji kerajaan PH bahawa “penyediaan infrastruktur asas seperti jalan raya dan lebuhraya adalah tanggungjawab kerajaan untuk rakyat” yang dibentangkan dalam Buku Harapan. UMNO memohon penjelasan sama ada wujud kajian dan penyelidikan terperinci yang dibuat sebelum cadangan ini diumumkan?


Pada masa yang sama, adakah polisi caj kesesakan akan dapat mengumpul jumlah secukupnya seperti yang disasarkan untuk menampung kos operasi serta penyelenggaraan lebuh raya serta bayaran pinjaman? Lebih penting, adakah polisi ini akan mendatangkan lebihan kutipan yang mampu disalurkan kepada dana pengangkutan awam, seperti yang dirancangkan?


Atau adakah polisi ini sekadar usaha kerajaan untuk mengurangkan impak dan kemarahan rakyat atas kenyataan Menteri Kerja Raya sebelum ini yang menegaskan “terpulang kepada rakyat untuk bermimpi”? Timbalan Menteri Kerja Raya pada Disember lepas menegaskan bahawa hasil kajian mekanisme bagi mencapai matlamat pengurangan kadar dan pemansuhan tol lebuh raya akan dibentangkan kepada Kabinet pada Mei 2019.


Malah, JKR diberikan tempoh enam bulan dari 31 Oktober 2018 untuk mengemukakan cadangan mekanisme terbaik untuk capai matlamat berkenaan. Justeru, adakah ini bermakna kenyataan media berhubung keputusan caj dan kadar baharu serta pengambilalihan konsesi dari Gamuda semalam sememangnya dikeluarkan sebelum hasil kajian selesai sepenuhnya?


Ketiga, dalam penegasan bahawa kerajaan merancang untuk mengambil alih konsesi tol dari Gamuda, UMNO berpendirian bahawa pembiayaan dan kos yang terlibat mestilah didedahkan secara telus dan mencukupi. Jumlah, terma-terma dan mekanisme yang akan digunakan mestilah dibentangkan kepada rakyat kerana tindakan ini pastinya menggandakan liabiliti kewangan kerajaan.


Perkara ini kritikal kerana, seperti yang diulang-ulang oleh kerajaan sendiri, negara kini berhadapan dengan hutang sangat besar. Keempat, UMNO inginkan penjelasan sama ada pengumuman ini mengambil kira impak terhadap pasaran bon domestik memandangkan sektor lebuh raya bertol terdiri daripada 23 penerbit berjumlah RM52.83 bilion bon dan sukuk tertunggak?


Adakah pasaran bon domestik akan menerima tamparan hebat sekali gus memburukkan lagi prestasi ekonomi negara yang kini terjerumus ke dalam keadaan deflasi pada bulan Januari 2019, iaitu kali pertama sejak krisis kewangan pada 2009? UMNO dengan ini menegaskan bahawa wujud keperluan mendesak di pihak kerajaan untuk memastikan secara serius yang keputusan ini benar-benar memberi impak positif kepada rakyat.


Dan ia bukannya sekadar dibuat untuk menyedapkan hati tanpa memberikan kesan sebenar dalam pengurangan kos sara hidup rakyat.DATUK SERI MOHAMAD HASAN ialah Timbalan Presiden UMNO.


Sumber: Utusan Online


17 views

Comentários


bottom of page