top of page

Penghalang konkrit MPS dialihkan



SELEPAS sehari Majlis Perbandaran Selayang (MPS) meletakkan penghalang konkrit di kawasan ‘hotspot’ pembuangan sampah haram di Jalan Sungai Tua, Ulu Yam, Gombak, ia sudah dialihkan pihak tidak bertanggungjawab, hari ini.


Pengarah Jabatan Korporat MPS Mohamad Zin Masoad berkata, pihaknya amat kesal dengan dengan insiden itu kerana tindakan berkenaan seolah-olah mencabar usaha membanteras aktiviti pembuangan sampah haram di kawasan itu.


“Berikutan itu, satu laporan polis sudah dibuat dan kami juga akan menjalankan siasatan berhubung perkara ini.


“Satu pelan tindakan akan dilakukan untuk memastikan insiden seumpama ini dapat dikawal,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Mohamad Zin berkata, merujuk kepada tindakan sebelum ini pada 25 Februari lalu, pihaknya dengan bantuan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Gombak menjalankan satu operasi meletakkan enam halangan konkrit di laluan berkenaan yang didapati sering menjadi tempat pembuangan sampah oleh lori sampah dan roro haram.


“Operasi ini yang disertai 13 anggota MPS bersama 10 kakitangan JKR Daerah Gombak itu adalah kali kedua selepas halangan sebelum ini turut dialih dan dirosakkan.


“Kami memberi amaran keras kepada pihak yang terbabit dengan kegiatan sampah haram supaya tidak terus mencabar MPS. Mana-mana pihak didapati berbuat demikian akan dikenakan hukuman mengikut undang-undang,” katanya.


Katanya, MPS juga akan terus melaksanakan pemantauan di semua lokasi ‘hotspot’ sampah haram terutama di kawasan berkenaan supaya tiada lagi pencerobohan dan kegiatan buang sampah haram dilakukan.


Sumber: Harian Metro


10 views

تعليقات


bottom of page