top of page

Pengecualian penilaian nilai boleh percepat Lebuhraya Pan Borneo Sabah


Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah
Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah

KOTA KINABALU: Pelaksanaan baki 20 daripada 35 pakej fasa satu Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang belum bermula disasar mampu dipercepatkan antara empat hingga lima bulan lebih awal jika sesi penilaian nilai (VA) dikecualikan dalam semua pakej terbabit.


Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata sesi VA sudah dibuat di semua pakej berkenaan ketika awal pelaksanaan projek itu pada 2017 dan 2018 sebelum tergendala dan dilihat memakan masa jika perlu dibuat semula.


Katanya, dana untuk projek itu juga perlu disalurkan pada tahun ini bagi membolehkan pelaksanaan projek lebuh raya berkenaan dibuat awal, selain memastikan dilaksana oleh kontraktor tempatan Sabah yang berwibawa dan berkeupayaan.


"Untuk mempercepatkan pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah fasa satu ini, saya ingin mencadangkan agar dipertimbangkan pengecualian sesi Value Assesment (VA) terhadap pakej yang berkenaan kerana proses ini sudah dilakukan pada 2017 dan 2018.


"Dengan pengecualian ini, adalah dijangka dapat menjimatkan sekitar empat hingga lima bulan kerja reka bentuk," katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, malam tadi.


Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah pernah menjadi Pengarah Urusan Syarikat Rakan Penyampai Projek (PDP) Borneo Highway (BHP) yang bertanggungjawab menyelaraskan pelaksanaan 35 pakej fasa satu Lebuhraya Pan Borneo Sabah antara 2016 hingga 2018, iaitu sehingga khidmat PDP ditamatkan oleh kerajaan persekutuan pada masa itu.


Sementara itu, Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan, berkata rakyat Sabah amat mengalu-alukan pengumuman peruntukan RM20 billion bagi pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak dalam belanjawan tahun ini.


"Dengan adanya dana sebanyak RM20 bilion itu adalah menjadi harapan kami rakyat Sabah untuk melihat pelaksanaan baki 20 daripada 35 pakej dalam fasa satu Lebuhraya Pan Borneo Sabah dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat," katanya.


Selain Lebuhraya Pan Borneo, beliau berkata pihaknya turut memohon tambahan peruntukan untuk penyelenggaraan jalan persekutuan di Sabah yang amat memerlukan kerja penambahbaikan terutama di laluan Tamparuli - Ranau dan Kinabatangan - Lahad Datu.


Katanya, langkah itu perlu bagi merealisasikan dasar 'zero potholes' atau sifar jalan berlubang yang sememangnya menjadi rungutan pengguna jalan raya di Sabah.


Dalam hal lain, Shahelmey berkata beliau percaya penurunan kuasa kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta dapat memastikan pelaksanaannya dengan pantas dan efisien.


"Justeru saya mencadangkan agar semua peruntukan bagi projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta yang perlu, disalurkan sepenuhnya kepada Kementerian Kewangan Sabah.


"Ini bagi memastikan kerajaan negeri bertanggungjawab sepenuhnya dalam pelaksanaan projek pembangunan itu. Sekiranya perkara ini tidak dilaksanakan, senario kelewatan projek pembangunan tetap boleh berlaku walaupun dengan pengikhtirafan Jabatan Kerja Raya Sabah sebagai jabatan teknik.


"Prosedur perolehan yang berkaitan perlulah diselaraskan bagi mengelak kelewatan agar pelaksanaan projek pembangunan dapat dijalankan dengan lancar," katanya.


Beliau berkata, penurunan kuasa menandatangani surat setuju terima (SST) dan kontrak bagi semua projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta juga mestilah dari Kementerian Kewangan Sabah dan tidak lagi daripada menteri di kementerian yang berkaitan.


Sumber: Berita Harian


Comments


bottom of page