KERAJAAN menegaskan untuk tidak berkompromi dalam isu keselamatan negara walaupun pengambilalihan dan penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dimuktamadkan.
Menurut Kementerian Kewangan, sebagai sebuah negara yang berdaulat, urusan di pintu masuk negara akan dikendalikan dan dikawal Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) dan Jabatan Imigresen serta Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (MCBA).
Malah katanya, soal keselamatan di atas darat dan kawasan awam di sekitar lapangan terbang pula adalah di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pula bertanggungjawab dari segi keselamatan di atas udara serta kawasan pengendalian bagasi.
“Apa yang lebih penting, sekiranya atau setelah tawaran ini dipersetujui oleh para pemegang sahamnya, MAHB masih terakluk kepada terma dan syarat yang terkandung dalam Perjanjian Pengoperasian sedia ada yang telah ditandatangani bersama pihak kerajaan.
“Ini akan memastikan tiada sebarang perubahan kepada tanggungjawab dan bidang tugas MAHB sedia ada,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Kementerian itu menjawab soalan mengenai sama ada kerajaan bersedia memberikan dan mendedahkan kepada Parlimen sesalinan perjanjian pemegang saham (MAHB) antara tiga pihak yang berhasrat untuk menswastakan MAHB.
Di samping itu jelas kementerian itu, dari aspek kepentingan kepada negara, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melihat wujudnya satu keperluan yang mendesak untuk operasi MAHB ditambah baik dan pelaburan dibuat secara lebih pantas mengambil kira unjuran peningkatan trafik penumpang.
Ia juga katanya, mengambil kira keadaan infrastruktur semasa yang tidak dapat menampung jumlah masa kini serta keperluan masa hadapan Malaysia.
“Ini kerana rangkaian lapangan terbang yang kukuh dan diuruskan dengan baik akan meningkatkan dan merangsang pertumbuhan perdagangan, perniagaan dan pelancongan di Malaysia, memenuhi agenda MADANI dan pelbagai dasar ekonomi kerajaan.
“Ia merangkumi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS) dan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIB) 2030,” katanya.
Selain itu jelas Kementerian Kewangan, usaha untuk menyelenggara dan menaik taraf infrastruktur lapangan terbang, meningkatkan tahap perkhidmatan penumpang dan menambah baik kesalinghubungan syarikat penerbangan dapat menggalakkan peningkatan trafik penumpang dan meningkatkan jumlah pelancong yang datang ke Malaysia, sekali gus memberi impak positif yang berpanjangan kepada rakyat.
Kementerian Kewangan memberitahu, secara prinsipnya, tawaran pengambilalihan dan penswastaan MAHB merupakan satu urusan transaksi komersial yang dikemukakan oleh sebuah konsortium yang diterajui dua pemegang saham sedia ada MAHB ketika ini iaitu Khazanah dan KWSP.
Katanya, sekiranya tawaran tersebut diterima dan dipersetujui oleh para pemegang saham MAHB yang lain, pemilikan MAHB oleh konsortium berkenaan adalah berdasarkan pecahan iaitu Khazanah (40 peratus), KWSP (30 peratus) dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) serta Global Infrastructure Partners (GIP) sebanyak 30 peratus.
“Memandangkan ia merupakan perjanjian yang melibatkan empat pihak swasta, ia tertakluk kepada prinsip kerahsiaan komersial seperti kelaziman dalam sebarang transaksi yang bersifat sedemikian.
“Namun, kerajaan telah meneliti butiran berhubung pengambilalihan MAHB yang dibentangkan oleh konsortium berkenaan dan berpuas hati dengan segala perincian yang dikemukakan. Perlu juga ditegaskan bahawa pihak kerajaan akan mengekalkan saham khasnya dalam MAHB,” katanya.
Sumber: Wilayah Ku
Comments