top of page

'Penempatan khas pekerja asing'


ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor bercadang menyediakan penempatan berpusat atau khas, yang dikawal untuk pekerja asing yang bekerja di negeri itu.


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad, berkata ia sebagai langkah jangka panjang mengawal pekerja asing di Johor, memastikan mereka tidak menjadi ancaman kepada penduduk negeri ini serta aspek keselamatan pekerja itu sendiri.


Beliau berkata, perkara itu akan dibangkitkan pada Mesyuarat EXCO, susulan aduan penduduk tempatan kerana bimbang dengan kehadiran pekerja asing yang ramai di taman perumahan mereka, selain kurang penguatkuasaan ke atas pekerja asing terbabit.

Katanya, isu sosial, jenayah, dan penularan penyakit berjangkit daripada warga asing antara masalah yang membelenggu serta menjadi ancaman kepada penduduk, malah ia memerlukan kawalan serta penyelesaian.


“Berikutan faktor keselamatan, isu sosial dan penularan penyakit berjangkit daripada warga asing, kita memerlukan langkah lebih bersepadu dalam mengawal mereka, terutama menyediakan penempatan khas buat pekerja asing dengan kawalan tertentu.

“Konsep penempatan khas pekerja asing ini sudah lama dilaksanakan Singapura, bagi mengawal mereka, selain memastikan republik itu terhindar daripada isu sosial serta jenayah, malah ia sudah dipraktikkan di tapak Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Kota Tinggi.


“Kerajaan negeri mengambil maklum kebimbangan rakyat negeri ini yang tinggal di taman perumahan berhampiran kawasan industri yang tidak selesa dan sering bimbang berikutan warga asing tinggal di kawasan perumahan mereka yang dijadikan asrama pekerja, ” katanya kepada BH.


Semalam, BH dalam laporan muka depannya melaporkan tindakan sesetengah pemaju atau kontraktor menempatkan buruh binaan di bangunan yang masih dalam pembinaan, mendedahkan pekerja terbabit kepada pelbagai risiko kerana umpama tinggal dalam ‘perangkap maut.’

Penempatan rumah kongsi sementara dalam bangunan ini turut menyukarkan gerakan penguatkuasaan, dalam membanteras pendatang asing tanpa izin apabila mereka mudah meloloskan diri ke tingkat lain ketika pemeriksaan.


Mengulas lanjut konsep penempatan khas pekerja asing itu, Dzulkefly berkata, ia boleh diwujudkan di setiap kawasan industri utama di Johor.


“Pemilik industri perlu bergabung bagi menyediakan kemudahan penempatan khas bagi pekerja mereka, terutama pekerja asing di kawasan industri masing-masing, sekali gus dapat mengelakkan unit kediaman mahupun unit rumah kedai di taman perumahan dijadikan asrama mereka.


“Contohnya, di setiap kawasan perindustrian akan diwujudkan penempatan khas atau asrama bagi pekerja lengkap dengan kemudahan, supaya mereka tidak lagi perlu keluar kecuali untuk bekerja.


“Dengan penyediaan kawasan penempatan khas ini, pekerja terutama warga asing juga mudah dikawal dan tidak lagi memberi ancaman tidak perlu kepada rakyat di negeri ini,” katanya.

Rumah kongsi yang menjadi tempat penginapan sementara lebih 50 pekerja pembinaan di Bandar Sri Sendayan, Seremban. - NSTP/Azzman Abdul Jamal

Di Seremban, Timbalan Pengarah Bomba Negeri Sembilan, Abd Rahman Ali, berkata rumah kongsi yang dibina tidak mengikut piawaian seperti penggunaan bahan kayu dan papan nipis, boleh menyebabkan api merebak lebih pantas sekiranya berlaku kebakaran.


Katanya, keadaan itu juga akan memberikan tempoh masa lebih singkat kepada penghuni untuk menyelamatkan diri.


“Pembinaan rumah kongsi sebegitu (menggunakan kayu dan papan nipis) sebenarnya tidak mematuhi piawaian dari segi keselamatan kebakaran, patutnya tak boleh buat macam itu, pembinaan (rumah) perlu diberi penilaian kebakaran tetapi kebanyakan (rumah kongsi) tidak.


“Bagaimanapun, syarat (pembinaan) rumah bukan ditentukan bomba, pihak bertanggungjawab perlu sediakan penginapan yang lebih sesuai (kepada buruh pembinaan),” katanya ketika dihubungi BH.


Sementara itu, tinjauan BH di sekitar Bandar Sri Sendayan, di sini, mendapati rumah kongsi yang dibina untuk menempatkan lebih 50 buruh asing berhampiran kawasan tapak pembinaan bukan saja mendatangkan risiko keselamatan penghuni, malah boleh menjejaskan kesihatan penduduk di kawasan perumahan berdekatan.


Keadaan persekitarannya dilihat kotor apabila dipenuhi sampah sarap dan air bertakung di kawasan sekeliling, sekali gus berpotensi mengundang kehadiran haiwan perosak dan menjadi tempat pembiakan Aedes.


Selain itu, lokasi itu juga pernah diserbu oleh Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada Julai lalu, kerana dikesan mencuri air dengan melakukan penyambungan paip secara haram.



94 views

Comments


bottom of page