top of page

Penduduk tak tahan hadap kesesakan, mohon kerajaan negeri kembalikan PJD-Link


Penduduk tak tahan hadap kesesakan, mohon kerajaan negeri kembalikan PJD-Link
PENDUDUK setempat menunjukkan jalan yang mengalami masalah kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu puncak sementara menunggu pelaksanaan Projek PJD-Link ketika tinjauan di Taman Medan. FOTO Hairul Anuar Rahim

Penduduk tak tahan hadap kesesakan, mohon kerajaan negeri kembalikan PJD-Link

Petaling Jaya: Gabungan Persatuan Penduduk Taman Medan berharap kerajaan negeri dapat mengkaji semula pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD-Link) di kawasan Bandaraya Petaling Jaya, di sini, untuk menyuraikan trafik di kawasan itu yang semakin serius.


Gabungan itu terdiri daripada Persatuan Penduduk Blok M, Jalan PJS 1/21, Persatuan Penduduk Blok E, Medan Cahaya, Persatuan Penduduk Blok F, Medan Cahaya, Persatuan Penduduk Blok A dan Pangsapuri Permai yang mewakili hampir 50,000 penduduk.


Wakilnya, Mohamed Dollah, 68, berkata, masalah kesesakan lalu-lintas itu berlaku di Jalan Medan 10, Jalan Besar PJS2, Jalan Besar PJS3, Jalan Besar PJS4, Jalan PJS 1/25 Sri Manja, Jalan PJS 3/23, Jalan 2C/17, Jalan PJS 2 dan Jalan PJS 3/40 pada waktu puncak setiap pagi dan petang.


"Kami faham kesesakan trafik memang akan berlaku di bandar tetapi masalahnya ia berlaku di kawasan perumahan penduduk dan terlalu serius terutama waktu puncak bermula jam 7 pagi sehingga 9 pagi dan jam 5 petang sehingga 7 atau 8 malam.


"Dari simpang tiga Jalan Templer menghala ke Puchong melalui jalan utama Sri Manja yang hanya ambil masa lima hingga tujuh minit dengan jarak kira-kira 500 meter saja kini menjadi 30 minit sehingga 45 minit dan kalau hujan masa perjalanan akan bertambah," katanya ketika ditemui.


Menurutnya, pihaknya berpendapat lebuh raya terbabit dapat membantu menyuraikan kesesakan trafik di kawasan penempatan mereka, namun kesal permohonan projek itu dikatakan sudah dibatalkan oleh pihak berkenaan.


"Difahamkan pembatalan itu dibuat kerana pelan dikemukakan tidak menepati syarat, jadi kami sangat berharap ada kajian semula dan lebih terperinci supaya projek berkenaan dapat diteruskan untuk manfaat penduduk setempat," katanya.


Penduduk, Abdul Rafah Alias, 68, berkata, kesesakan lalu-lintas itu bertambah buruk disebabkan ramai pengguna melalui jalan kawasan mereka dari Jalan Klang Lama menghala ke Puchong dan Lebuhraya Shah Alam (KESAS).


"Ketika ini banyak penempatan dan pembangunan baharu sedang dibina di sekitar kawasan kami dan pastinya penduduk juga akan semakin bertambah jadi pembinaan lebuh raya itu sangat diperlukan. Kerajaan negeri perlu mendengar juga pandangan kami yang menyokong projek berkenaan.


"Bukan saja masalah kesesakan dapat diselesaikan dan masa perjalanan juga akan lebih singkat seperti sebelum ini, malah peluang pekerjaan juga akan bertambah di sini," katanya.


Penduduk Pangsapuri Permai, Wan Ali Wan Isa, 62, berkata, dia juga berharap projek berkenaan diteruskan dan kerajaan negeri mendengar suara penduduk yang tidak tahan menempuh kesesakan trafik.


Pada Julai lalu, media melaporkan kerajaan negeri memutuskan pembatalan permohonan pembinaan lebuh raya dikenali sebagai PJD-Link di kawasan Bandaraya Petaling Jaya.


Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, pembatalan itu dibuat memandangkan pelan dikemukakan tidak menepati syarat.


Sumber: Harian Metro


Penduduk tak tahan hadap kesesakan, mohon kerajaan negeri kembalikan PJD-Link

Comments


bottom of page