KOTA BHARU: Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok yang mengandungi tiga fasa dijangka mengambil masa lebih lama untuk disiapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Dr Izani Husin berkata, penduduk sepanjang sungai tersebut masih berdepan musibah banjir setiap kali musim tengkujuh.
Katanya, sebelum ini kerajaan Pusat meluluskan projek PLSB Sungai Golok dan PLSB Sungai Kelantan bagi mencegah banjir akibat limpah air sungai.
“Projek Sungai Kelantan dan PLSB Sungai Golok ada tiga fasa pembangunan. PLSB Sungai Golok melibatkan kos sebanyak RM2.1 bilion dan pelaksanaannya melangkaui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Kamaruzaman Mohamad (PAS-Gual Periok) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.
Pada akhir tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, kerajaan akan menyegerakan projek PLSB Sungai Golok fasa dua bagi menangani masalah banjir terutama di Rantau Panjang.
Menurutnya projek PLSB Sungai Golok mengikut perancangan mengambil masa beberapa tahun, namun akan disegerakan projek berkenaan secepat mungkin dan fasa dua akan dimulakan awal 2024.
Dr Izani juga berkata, kelazimannya Kelantan menerima jumlah hujan tinggi pada akhir tahun sempena musim tengkujuh.
Katanya juga sistem saliran di kawasan bandar dipertingkatkan untuk air mengalir keluar ke saliran berdekatan, namun gagal menyekat limpahan air sungai ketika banjir berlaku.
“Namun perancangan bagi menyediakan sistem perparitan yang lebih lengkap melibatkan kos tinggi termasuk pengambilan tanah dan sebagainya,” katanya.
Sumber: Harakah Daily
Penduduk sepanjang Sungai Golok masih berdepan banjir
Comments