top of page

Penduduk Kampung Sebangkoi menarik nafas lega jambatan konkrit sudah siap


Harden (empat kiri) memotong reben sambil diperhatikan ketua-ketua masyarakat semasa merasmikan jambatan konkrit di Kampung Sebangkoi, Hulu Undop di Sri Aman.

SRI AMAN: Penduduk Kampung Sebangkoi, Hulu Undop di sini kini boleh menarik nafas lega apabila sebuah projek jambatan konkrit merentangi Sungai Undop di kampung tersebut sudah siap pembinaannya pada 18 Jun 2022 lalu.


Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis berkata, pembinaan jambatan konkrit dengan kos RM500,000 itu adalah melalui peruntukan Projek Tranformasi Luar Bandar (RTP) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang.


“Pembinaan jambatan konkrit ini adalah peruntukan RTP saya dan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya pada Majlis Mantar Gawai Dayak 2024 dan perasmian jambatan konkrit Kampung Sebangkoi, Hulu Undop di sini. 


Majlis itu anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sebangkoi, Hulu Undop dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Hulu Undop Zon 1 dengan kerjasama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Simanggang di Rumah Bair Kanchuh, Kampung Sebangkoi di sini. 


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu berkata, dengan terbinanya jambatan tersebut ia memberi manfaat kepada penduduk rumah panjang terbabit dan sekitarnya.


“Jambatan ini juga merupakan salah satu jalan perhubungan penerokaan tanah bagi tujuan pertanian dan aktiviti ekonomi lain sebagai infrastruktur sokongan meningkatkan taraf ekonomi masyarakat,” jelasnya.


Mengenai majlis itu, Harden berkata ia diadakan bagi mengekalkan budaya terima kasih dan bersyukur atas kelangsungan hidup sehingga hari ini dan mengecapi kehidupan lebih baik melalui pembangunan kerajaan kepada rakyat.


"Pada zaman dahulu, Gawai Dayak merupakan pesta adat dan budaya masyarakat Dayak terkenal dengan pencapaian dalam pelbagai aspek termasuk memperoleh hasil padi yang banyak dan kejayaan bujang berani mempertahan kawasan daripada serangan musuh.


“Tetapi pada zaman arus pemodenan, perayaan Gawai diadakan sebagai tanda kesyukuran selepas musim menuai padi dan jauh sangat perbezaannya sambutan Hari Gawai pada zaman dahulu dan zaman sekarang,” katanya.


Selain itu katanya, mendalami adat dan budaya termasuk 'ngepan' boleh diperagakan ketika sambutan perayaan Hari Gawai Dayak, ini kerana dengan cara ini dapat memberi kesedaran kepada generasi baharu yang jarang dan belum pernah mengetahui adat budaya dan pakaian tradisional masyarakat Dayak.


Pada kesempatan itu, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Hulu Undop Zon 2 menyerahkan bakul makanan kepada seramai tujuh penerima yang disampaikan oleh Harden disaksikan Pengerusi KRT Hulu Undop Zon 2 Gerunsen Nyelang.


Pada majlis tersebut, Harden meluluskan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada JKKK Kampung Sebangkoi berjumlah RM5,000 manakala Biro Wanita berjumlah RM3,000 untuk tujuan membiaya aktiviti pertubuhan itu.


Turut hadir Penghulu Mingging Sigan, Penghulu Andar Suntai, Penghulu Leonard Libau Anol, Penghulu Empaga Bailey, Penghulu Kang Tai Kong, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) Kaunselor Balean Suji Inggol, Kaunselor Wong Yii Hong, Kaunselor Michael Pillow Lachen dan Kaunselor Munan Angkau.


Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran istimewa tetamu dari Indonesia iaitu Temenggung Dalan Sigan dari kawasan Puring Kencana, Kepala Desa (Ahli Majlis) Agus Andau dari Kantu Asam, Patih (Penghulu) Jantun Bugak dari Kantu Bunut, Patih (Penghulu) Gio Sawal dari Merakai Panjai, Kepala Dusun (Ketua Kampung) Usuh Unchit dari Merakai Dadak, Kepala Dusun (Ketua Kampung) Philip Tembak dari Merakai Panjai, Kepala Dusun (Ketua Kampung) Sereman Jugah dari Merakai Baroh dan Kepala Dusun (Ketua Kampung) Gundah Kapal dari Kedang.  



Comments


bottom of page