BERA – Penduduk Felda Triang 1, di sini, meminta kerajaan persekutuan campur tangan dengan membaiki Jalan Utama Triang menghala ke Bandar 34 yang rosak teruk dan tidak berlampu.
Ketua Komuniti Kampung Felda Triang 1, Mohd Sayuti Zakaria berkata, keadaan jalan itu membahayakan pengguna sejak enam tahun lalu.
“Kami amat memerlukan supaya jalan ini dinaik taraf. Aduan telah pun dibuat, rayuan telah dibuat daripada pelbagai sudut kepada pelbagai pihak.
“Cuma kita tak dapat maklum balas. Alasannya terlalu banyak untuk baik pulih,”katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini, hari ini.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati jalan sepanjang 18.8 kilometer itu sempit dan beralun, selain ditambak dengan batuan halus di beberapa bahagian.
Menurut Mohd Sayuti, jalan terbabit rosak teruk berikutan jentera berat dengan muatan bahan binaan menggunakan laluan itu untuk ke tapak kem tentera yang sedang dalam pembinaan yang terletak 1.3 kilometer daripada kawasan kampung tersebut.
Beliau memberitahu, sejak awal projek naik taraf Bandar 34, kenderaan berat sepatutnya menggunakan laluan lain, iaitu Jalan Paya Lang, namun ia tidak berlaku.
“Katanya nak baik pulih jalan ini selepas siap projek. Sekiranya kita menunggu projek naik taraf di Bandar 34 ini untuk disiapkan, 10 tahun pun belum tentu lagi.
“Kerana kawasan ini melebihi daripada satu fasa kerana terdapat 12 jenis pembangunan yang akan dibuat,” katanya.
Tambah Mohd Sayuti, penduduk di kawasan itu tidak sanggup lagi menanggung risiko kemalangan yang mana terdapat 15 kemalangan dilaporkan, termasuk kemalangan maut.
“Kalau cakap pasal janji, daripada sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lagi sudah berjanji.
“Nak kata wakil rakyat tak tahu, tak munasabah. Nak kata Penghulu tak tahu, tak munasabah.
Nak kata peringkat Negeri Pahang, tah lah. Malu lah. Malu kerana Pahang paling teruk jalan,” ujarnya.
Selain itu, penduduk di sepanjang laluan ke tapak pembinaan itu juga terkesan dengan habuk dan debu daripada lori-lori yang melalui jalan tersebut.
“Debu memang kena hadap saja lah. Debu tu perkara biasa dah. Jalan depan tu dah berlopak semua,” kata salah seorang penduduk Imran Husin, 60 yang rumahnya terlibat di laluan itu.
Beliau mengakui hampir terlibat dengan kemalangan dan pernah terbabas kerana mengelak lori ketika keluar dari simpang rumahnya.
“Saya kalau cucu balik pun memang risau sebab jalan memang berbahaya. Memang dahsyat, memang sibuk jalan ni. Kalau pagi hantar budak sekolah, lagi lah,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Triang 1, Mohamed Jidi Yaakob berkata, situasi jalan raya yang membahayakan itu memberi imej buruk kepada kawasan Bera.
Katanya, laluan tersebut merupakan antara laluan tumpuan di daerah itu kerana terdapat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan kem tentera
“Orang luar kata jalan ke MRSM Bera teruk dan sebagainya.
“Jadi, kita minta pihak-pihak berwajib ambil tindakan segera elakkan lebih banyak kemalangan. Semalam pun ada kemalangan juga dan difahamkan mangsa dalam keadaan koma,” kata Mohamed Jidi.
Menurut beliau, komuniti kampung terbabit tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan drastik dengan menyekat kemasukan lori-lori muatan berat jika tiada tindakan diambil pihak berkaitan dengan segera.
Sumber: Malaysia Gazette
Comments