BATU GAJAH - Tindakan pantas penduduk melaporkan pergerakan tanah di cerun bukit ekoran hujan lebat berjaya memindahkan seramai 28 penduduk di Taman Chenderong Jaya di sini, ke tempat selamat.
Kesemua penduduk daripada enam keluarga dari Jalan Chenderong 3 dan 4 itu kini ditempatkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serba guna Tanjung Tualang di sini, sebagai langkah keselamatan dengan risiko tanah runtuh.
Penduduk, Nur Azlina Md Ruslan, 44, berkata, anaknya ada menegur keadaan tanah di lereng bukit setinggi sembilan meter berhampiran rumah mereka itu yang mulai rebak.
"Sekitar jam 8.15 malam saya terdengar pula bunyi dentuman seperti tanah bergerak. Saya terus terbayangkan keadaan seperti Batang Kali dan keluar beritahu kepada jiran-jiran.
"Saya hanya fikirkan keselamatan tujuh anak yang masih kecil. Apabila pihak berkuasa arahkan pindah, saya tidak fikir panjang terus tinggal di PPS ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Tinjauan di lokasi mendapati pelbagai agensi antaranya Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) mula turun padang menjalankan siasatan.
Sementara itu, Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, tindakan pembaikan cerun bukit akan dilakukan bagi menjamin keselamatan penduduk.
"Sebagai langkah awal keselamatan, JKR bersetuju untuk meletakkan penghadang konkrit di sebahagian lereng bukit ini.
"Kita juga minta JMG melakukan kajian lebih mendalam dengan melihat potensi berlakunya pergerakan tanah dan menyerahkan laporan itu untuk tindakan lanjut," katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah itu berkata, penduduk diminta bersabar dengan situasi itu sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
"Penduduk akan dibenarkan pulang selepas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) mengadakan perbincangan esok.
"Kita faham akan kegusaran mereka namun, ini adalah kebaikan semua dan polis juga ditempatkan di lokasi kejadian bagi menjaga harta benda yang ditinggalkan," katanya.
Sumber: Sinar Harian
Comentarios