KUALA NERUS: Penduduk yang tinggal di beberapa buah kampung di pesisir pantai di Batu Rakit dekat sini bimbang kejadian hakisan lebih buruk berlaku pada musim tengkujuh akan datang.
Antara pantai yang terjejas akibat hakisan terletak di Kampung Tengah, Kampung Kolam, Kampung Pengkalan Maras, Kampung, Mengabang Telong dan Kampung Tanjung.
Seorang penduduk, Akbar Abd. Rashid, 50, berkata, beliau percaya sebahagian pantai di kampung tersebut akan terus terhakis sekiranya tiada tindakan diambil untuk menyelamat pantai berkenaan.
Menurutnya, dalam tempoh beberapa tahun lalu, lebih 1,000 meter kawasan pantai di kampung tersebut telah ditelan ombak dan kini berada di tengah laut.
Katanya, dia tidak menafikan terdapat usaha diambil kerajaan termasuk menambun pasir dan membina benteng, namun tidak berjaya menahan hakisan.
“Beberapa tahun lalu, terdapat kerja-kerja menambun pasir di kawasan pantai itu sejauh 150 meter dari pantai dan panjang kira-kira dua kilometer, tetapi tidak sampai sebulan kawasan tersebut terhakis semula.
“Penduduk berharap satu kajian yang teliti dilakukan sebelum kerja-kerja menahan hakisan dilakukan untuk mengelakkan kerja-kerja tersebut menjadi sia-sia,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Seorang peniaga, Che Jantan Abdullah, 65, berkata, sebuah surau yang terletak berdekatan kedai makannya roboh akibat hakisan pada tahun 2020.
“Pada masa ini, kedai makan saya dan surau baharu yang dibina berada dalam keadaan terancam kerana semakin berdekatan dengan pantai yang terhakis itu.
“Saya difahamkan terdapat projek pembinaan benteng dilakukan untuk menyelamatkan benteng tersebut tetapi tidak pasti bila projek tersebut akan dilaksanakan,” ujarnya.
Seorang nelayan, Ariffin Mohammad, 70, pula berkata, nelayan pantai lain di kampung ini tidak mempunyai tempat untuk menyimpan sampan mereka selepas kawasan pantai terhakis sejak beberapa tahun lalu.
“Keadaan tersebut menyebabkan nelayan terpaksa mendaratkan hasil tangkapan dan meletakkan sampan di kampung lain berdekatan,” katanya.
Sumber: Utusan
Comments