top of page

Penduduk bantah pembinaan insinerator di Rawang


Penduduk bantah pembinaan insinerator di Rawang
PENDUDUK meninjau lokasi projek Insinerator di lot 3847 mukim Rawang. FOTO Saifullizan Tamadi

Penduduk bantah pembinaan insinerator di Rawang

Rawang: Lebih 20 persatuan komuniti mewakili 100,000 penduduk membantah cadangan projek pembinaan insinerator baharu di lot 3847 di sini, berikutan pelbagai faktor.


Penyelaras Jaringan Rawang Tolak Insinerator (RTI), Dr Lam Choong Wah berkata, pihaknya mewakili 100,000 penduduk yang menetap di sekitar tapak projek iaitu Batu Arang, Bandar Tasik Puteri, Kota Puteri, Bandar Country Home dan M Residence membantah cadangan projek berkenaan.


"Kami mahu projek ini dibatalkan atas sebab projek itu memberi impak sosial kerana ia berdekatan dengan rumah ibadat, kediaman dan sekolah.


"Ia akan menyebabkan bau busuk daripada sisa buangan, kesesakan lalu lintas kerana banyak trak sampah akan melalui kawasan ini setiap hari sekali gus nilai tanah dan hartanah menyusut serta kehilangan kawasan hijau," katanya pada taklimat bersama wakil persatuan penduduk serta sidang media di sini, hari ini.

kerjaya madani politeknik shah alam

Beliau berkata, pembakaran sisa sampah itu akan memudaratkan kesihatan penduduk dan alam sekitar melalui pelepasan toksik yang membawa kepada pencemaran bunyi, udara, tanah dan air setempat.


Katanya, pihaknya giat mengumpul tandatangan bantahan penduduk sebelum dijangka menghantar petisyen kepada kerajaan Selangor menerusi Menteri Besar Selangor, dalam masa terdekat.


"Dengan mengambil maklum rumusan dan teguran dalam laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), RTI berpendirian insinerator bukanlah cara pengurusan sisa terbaik berbanding dengan kitar semula dan guna semula dengan mengguna pakai teknologi digital dan lestari.


"RTI menyeru Kerajaan Negeri Selangor menggubal dan menguatkuasa enakmen pemisahan sisa-sisa di punca mengikut prinsip hierarki pengurusan sisa demi meningkatkan usaha pengurangan dan kitar semula sisa-sisa.


"Justeru, RTI mohon satu dialog bersama Menteri Besar Selangor diadakan bagi membincangkan isu meruncing ini," katanya.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuang, Mohd Rafiq Abdullah berkata, beliau akan membawa suara kebimbangan penduduk itu ke sidang Dun yang dijangka berlangsung September depan.


"Saya akan membawa isu ini dalam sidang Dun Selangor dan mengajak rakan Adun lain untuk sama-sama membantah projek ini.


"Saya ingat kita perlu bersiap sedia untuk menghantar bantahan secara rasmi kepada Menteri Besar dan kerajaan negeri termasuk cadangan lokasi baharu bagi pembangunan projek ini.


"Semua kos yang perlu untuk kita bergerak (perjuangkan isu itu) saya akan tanggung," katanya.


Difahamkan cadangan projek insinerator itu akan menampung sisa pepejal dari Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan Majlis Perbandaran Selayang.


Sumber: Harian Metro


Penduduk bantah pembinaan insinerator di Rawang

Comments


bottom of page