SHAH ALAM - Tiada masalah dalam pemberian tender kerana sebarang keputusan mengenai pemilihan syarikat bagi projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Fasa di Sabah terletak pada Kementerian Kewangan (MoF).
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ini kerana MoF yang mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan syarikat mana lebih sesuai untuk laksanakan projek itu.
"Kita apabila menerima daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, (bagi) peringkat pertama kita datang ke Kementerian Kerja Raya (KKR) dan melakukan semak semula. Di situ kita ada kuasa juga.
"Jadi (apa) yang berlaku, kita hantar juga senarai selepas diperbincangkan... kemudian akan ada penilaian di peringkat KKR kepada MoF.
"Jadi, mereka ada kuasa untuk fikir siapa sepatutnya diberi tawaran atau diluluskan sebab MoF sudah bagi balik kepada kami keputusan mereka," katanya ketika sidang akhbar selepas Program Hari Komuniti MyPLUS di sini, pada Khamis.
Sebelum ini media melaporkan, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan meminta penjelasan berkenaan tindakan MoF mengarahkan JKR Sabah memberikan tender projek LPB Fasa 1B melibatkan kerja menaik taraf jalan dari Telupid ke Kampung Lumou Baru (WP32) kepada syarikat yang tidak diluluskan oleh penilaian tender.
Menurut Takiyuddin, keputusan tersebut merupakan satu pelanggaran tatakelola yang besar dan memalukan.
Mengulas lanjut, Nanta memaklumkan, tiada sebarang masalah atau persoalan yang timbul kerana pihaknya pihak sudah mengikut sudah prosedur yang ditetapkan.
Tambah beliau, pihaknya juga sudah mengarahkan JKR Sabah untuk mengeluarkan surat serah terima (SST) kepada syarikat terpilih.
"Jadi, kita lalui prosedur yang ditetapkan... tak ada masalah. Tak ada orang boleh mengatakan (persoal), semestinya kita mengikut senarai yang diangkat oleh JKR Sabah sebab MOF yang (ada) kuasa mutlak," jelasnya.
Sumber: Sinar Harian
Comments