top of page

Pembinaan Masjid Sungai Nibong Besar bermula hari ini


Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman. - Arkib NSTP

GEORGETOWN: Pelaksanaan projek pembinaan semula Masjid Sungai Nibong Besar yang ditangguhkan bagi proses penjajaran semula pelan Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas, di sini, dimulakan hari ini.


Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, berkata projek pembinaan masjid itu di atas Lot 3423 dan Lot 10067 Mukim 13, Daerah Timur Laut, disambung semula dengan kerja awal pembersihan tapak.


“Pembersihan itu adalah untuk memberi laluan kepada jentera masuk ke tapak pembinaan. Pihak kontraktor juga sudah memulakan kerja penandaan ‘point’ cerucuk di tapak pembinaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Jun lalu, beberapa laporan dalam media sosial mendakwa jajaran LRT Bayan Lepas akan mengambil kira-kira 20 peratus tanah wakaf masjid itu dan melalui kawasan tanah perkuburan di situ, yang sedang dirancang pembinaannya.


Pada masa sama, lebih 100 anggota kariah Masjid Jamek Sungai Nibong Besar turut mengadakan bantahan aman di hadapan KOMTAR, susulan cadangan pembinaan jajaran LRT berdekatan masjid dan tanah perkuburan.


Menjelaskan lanjut, Zakiyuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat negeri berkata, projek pembinaan itu dapat dimulakan lebih awal dari jadual selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) berjaya menyiapkan lukisan pindaan.


“Mengikut perancangan JKR Pulau Pinang, pembinaan masjid ini akan hanya disambung semula pada Januari 2020. Namun, pihak JKR berjaya menyiapkan lukisan pindaan terbabit bagi membolehkan kontraktor meneruskan kerja pembinaan lebih awal,” katanya.


Apabila siap dibina kelak, masjid itu dijangka boleh memuatkan 1,700 jemaah pada satu-satu masa.


Jajaran projek LRT itu sepanjang 29.9 kilometer membabitkan 27 stesen, bermula dari KOMTAR ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan seterusnya ke tiga pulau buatan di selatan Pulau Pinang, dengan kos dianggarkan RM8 bilion.


Projek itu dimulakan kerajaan negeri bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di negeri ini membabitkan anggaran kos RM46 bilion. – BERNAMA



Comments


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page