SHAH ALAM: Pembinaan jejantas di Persiaran Tun Arshad Ayub berdekatan Universiti Selangor (UNISEL) kampus Shah Alam tidak sesuai berdasarkan kajian semula yang dilaksanakan.
Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan PBT itu pada awalnya bercadang membina jejantas untuk kemudahan orang awam rentetan kes kemalangan maut pelajar UNISEL pada tahun 2019.
Katanya, cadangan itu bagaimanapun tidak dapat dilaksanakan dengan segera berikutan penularan wabak COVID-19 sejak tahun 2020 sehingga pertengahan tahun 2022.
"Pada masa sama, MBSA telah membuat semula kajian dan mendapati pembinaan jejantas tidak sesuai disebabkan terdapat kabel utiliti di jalan berkenaan yang membabitkan banyak syarikat dan memerlukan kos yang besar.
"Alternatif terbaik dan praktikal bagi menyelesaikan perkara ini adalah membina lintasan pejalan kaki," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut kenyataan itu, pembinaan lintasan pejalan kaki itu adalah untuk memberi kemudahan dari segi keselamatan kepada pejalan kaki, khususnya pelajar UNISEL untuk menyeberang jalan di Persiaran Tun Arshad Ayub.
Katanya, rekaan lintasan pejalan kaki berkenaan masih memerlukan penambahbaikan dengan penambahan seperti lampu kecemasan/amaran, garisan pemutus kelajuan dan melandaikan kadar kecerunan memandangkan laluan menurun kenderaan dari arah Jalan Persiaran Tun Arshad Ayub.
"Serahan tapak kepada pihak MBSA oleh pihak kontraktor akan dilakukan sepenuhnya dengan anggaran tempoh 14 hari waktu bekerja.
"Justeru, pihak MBSA juga akan melengkapkan segala aspek keselamatan untuk membolehkan lintasan pejalan kaki ini dapat berfungsi dengan baik dan selamat," katanya.
MBSA turut menasihatkan pengguna jalan raya dari arah Bulatan Bestari, Seksyen 2 yang menuju ke arah Persiaran Tun Arshad Ayub agar sentiasa berhati-hati dan memperlahankan kenderaan ketika menggunakan jalan terbabit.
Semalam, penduduk di daerah ini berkongsi rasa tidak puas hati mengenai pembinaan bonggol berkenaan menerusi akaun Facebook komuniti 'Shah Alam Residents'.
Penduduk mendakwa bonggol berkenaan terlalu tinggi dan rata-rata pengguna tidak menyedarinya disebabkan laluan menuruni bukit.
Sumber: Berita Harian
Comments