Batu Pahat: Projek menaik taraf Sistem Saliran Mesra Alam Sungai Suloh, di sini, mengalami kelewatan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020 serta isu perubahan reka bentuk semula membabitkan lima jambatan.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia dalam kenyataan berkata, kelewatan juga disebabkan ia memerlukan kelulusan serta penyelarasan semula Jabatan Kerja Raya (JKR) menyebabkan tambahan masa (EOT) perlu diberikan sehingga 24 September depan.
Menurutnya, skop projek ini membabitkan kerja-kerja melebarkan sungai sepanjang 750 meter (m) dan menggantikan lima jambatan trafik sederhana (MTB) serta menaik taraf sebuah jambatan JKR.
"Projek ini dilaksanakan oleh JPS Johor di bawah peruntukan kerajaan persekutuan dengan kos sebanyak RM3,574,444.00.
"Tempoh asal pelaksanaan projek ini adalah selama 18 bulan iaitu bermula pada 23 Disember 2019 dan dijangka siap pada 22 Jun 2021.
"Perubahan lima reka bentuk jambatan ini adalah susulan bantahan penduduk yang mendakwa reka bentuk asal terlalu tinggi. Reka bentuk asal projek ini mengikut 20 ARI bagi menampung kapasiti aliran sungai," katanya.
Harian Metro pada Isnin lalu, melaporkan penduduk Kampug Sungai Suloh mempersoalkan kewajaran jambatan itu dibina terlalu tinggi dan tidak sesuai.
Mereka berpendapat, pembinaan yang menjadi sebahagian langkah mengatasi banjir, namun bencana alam itu tetap berlaku dengan kejadian terbaru pada dua hari lalu.
Penduduk berkata, projek itu sepatutnya siap tahun lalu, namun pembinaannya dihentikan seketika hingga menimbul persoalan orang ramai.
Dalam pada itu, JPS berkata, penduduk terbabit menandatangani surat akujanji bersetuju untuk menerima risiko banjir susulan penurunan aras jambatan itu.
Katanya, penurunan aras jambatan akan menyebabkan kapasiti aliran sungai berkurangan seterusnya boleh mengakibatkan limpahan air sungai ke kawasan persekitaran terutamanya ketika hujan lebat dan pertembungan air pasang.
"Selaras dengan itu, aras jambatan diturunkan daripada RL4.2m kepada RL3.7m iaitu pengurangan sebanyak 0.5m. Status pelaksanaan projek terkini adalah 96 peratus dan kontraktor sedang giat menyiapkan baki kerja sehingga 24 September ini.
"JPS Johor akan memastikan projek ini disiapkan sepenuhnya bagi memastikan masalah banjir di kawasan itu, dapat dikurangkan dengan tahap perlindungan 20 ARI demi kesejahteraan penduduk," katanya.
Sumber: Harian Metro
Pembinaan jambatan tergendala akibat PKP
Opmerkingen