top of page

Pembinaan jambatan hubungkan Taman Kemena Sutera ke Taman Jason perlu dikaji semula


Sungai Sebiew perlu didalam dan dilebarkan bagi menangani masalah banjir kilat.

BINTULU: Projek pembinaan jambatan menghubungkan Taman Kemena Sutera ke Taman Jason perlu dikaji semula terutama kesan terhadap kerja-kerja pengorekan dan pelebaran Sungai Sebiew di sini.


Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata beliau menyatakan mengenai kebimbangan penduduk di beberapa kawasan perumahan khususnya Taman Jason di sini berhubung kelulusan projek jambatan tersebut.


"Mereka bimbang kesannya terhadap rancangan mendalam dan melebarkan Sungai Sebiew di sini," katanya ketika menghadiri mesyuarat menangani pengurusan keselamatan di Taman Perindustrian Samalaju di sini, semalam.


Menurutnya, keutamaan segera adalah menyelesaikan penempatan semula penduduk sepanjang kedua-dua belah sungai tersebut memberi laluan kepada projek mendalam dan melebarkan sungai itu bagi menangani masalah banjir kilat.


"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu mengadakan mesyuarat khas pada Januari depan membincang dan menyelesaikan semua halangan dalam projek ini," jelasnya.


Ahli Parlimen Bintulu itu berkata, tarikh akhir yang jelas mesti ditetapkan untuk mempercepat proses penempatan semula penduduk secepat mungkin.


"BDA mesti segera menghasilkan pelan induk projek penempatan semula, memperincikan garis masa, kemajuan pembinaan, kos sewa atau pembelian dan maklumat lain berkaitan memastikan proses penempatan semula lancar dan telus," katanya.


Mengenai pembinaan jambatan terbabit, beliau menggesa agar agensi-agensi berkaitan termasuk BDA, JKR dan JPS mengkaji semula projek jambatan itu dengan teliti. 


"Penilaian awalnya, saya melihat reka bentuk jambatan semasa mungkin menghalang kerja penyelenggaraan dasar sungai pada masa depan," jelasnya.


Selain itu katanya, projek tersebut perlu mengutamakan komuniti dengan memastikan memberi manfaat kepada sebahagian besar masyarakat dan bukannya sekumpulan kecil penduduk. 


"Penglibatan dengan komuniti adalah prasyarat melaksanakan sebarang rancangan pembangunan," katanya.


Justeru, semua rancangan pembangunan mestilah berpandangan ke hadapan dan mampu menampung trend masa depan dan pertumbuhan penduduk termasuk menaik taraf sistem bekalan air, memperbesar klinik atau hospital dan membina sekolah tambahan. 


"Sebagai contoh, projek bekalan air di kawasan perindustrian Samalaju mesti mengambil kira permintaan masa depan dengan memasang paip berdiameter lebih besar dan bertekanan tinggi dari awal, meskipun kos awalnya mungkin lebih tinggi tetapi ia menjimatkan kos penyelenggaraan jangka panjang," jelasnya.


Begitu juga klinik desa di Lubok Tapang Sebauh dan Nanga Tau Tatau katanya, ia harus diperuntukkan kawasan tanah lebih besar walaupun populasi semasa penduduk adalah kecil.


Katanya, ini untuk mempersiap pertumbuhan penduduk pada masa depan apabila kawasan bandar berkembang termasuk sekolah-sekolah, lebih-lebih lagi keadaan bandar Bintulu semakin pesat membangun.


"Sekiranya ada tanah baharu boleh diperolehi untuk pembinaan sekolah tambahan, perancangan harus mempertimbang bilangan pelajar di sekolah itu pada masa akan datang untuk menangani keperluan pendidikan jangka panjang," katanya.  


תגובות


bottom of page