top of page

Pembinaan dua jambatan belian siap, dibuka untuk kegunaan penduduk


Awla (tengah) mendengar penjelasan mengenai projek pembinaan baharu jambatan di Kampung Sabun/Sedilo, Simunjan daripada penolong jurutera JPS Bahagian Samarahan.

KUCHING: Projek pembinaan baharu dua jambatan belian di Kampung Sabun/Sedilo, Simunjan telah siap sepenuhnya dan kini dibuka untuk kegunaan penduduk setempat.


Menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dengan siapnya jambatan-jambatan ini aksesibiliti akan dipertingkatan yang akhirnya memberi manfaat kepada penduduk setempat khususnya bagi menghubungkan kawasan kebun ke jalan utama.


Kedua-dua jambatan tersebut sepanjang 21 meter dengan lebar 1.8 meter, tambahnya.


Mengulas mengenai jambatan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris berkata projek ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak menyediakan infrastruktur berkualiti kepada penduduk luar bandar.


"Jambatan-jambatan ini bukan sahaja meningkatkan perhubungan tetapi juga membuka peluang ekonomi baharu, terutama dalam akses pengeluaran hasil tani," katanya.


Awla berkata demikian ketika menyaksikan penyerahan tapak projek siap daripada kontraktor yang bertanggungjawab kepada Ketua Kaum Kampung Sabun/Sedilo Yahabi Hamdan hari ini.


Pembinaan kedua-dua jambatan ini dimulakan pada 6 September 2024 hingga 4 Januari 2025 dengan kos keseluruhan RM89,990 di bawah peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2023.


Awla turut mengucapkan terima kasih kepada pihak kontraktor kerana berjaya menyiapkan projek tersebut lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.


Ketua Kaum Yahabi Hamdan menyambut baik pembinaan jambatan itu dan beliau mewakili penduduk kampung rasa bersyukur serta mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan ADUN Simunjan atas perhatian yang diberikan.


Hadir sama, Penolong-Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Samarahan Christalvin Unting Cherry, Muadzam Alhaq Kuzbari dan Arief Badiozaman Sapian. 


Σχόλια


bottom of page