KUALA LUMPUR: Kontraktor Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), Setia Utama LRT 3 Sdn Bhd (SULRT3) menegaskan semua pembayaran kepada Kontraktor Pakej Kerja (WPC) yang dilantik, RKR Bina Sdn Bhd (RKR) dan APEX Communications Sdn Bhd (APEX) dibuat tepat pada masanya.
SULRT3 (dahulunya dikenali sebagai MRCB George Kent Sdn Bhd) berkata, protes oleh subkontraktor China Railway 17th Bureau Group (M) Sdn Bhd (CRCC17) hari ini, adalah bagi membantah pembayaran yang tidak dilakukan CRCC17, subkontraktor utama yang dilantik RKR dan APEX.
Justeru, SULRT3 berkata, isu bayaran itu tiada kaitan dengan syarikat berkenaan.
Syarikat itu berkata, kebimbangan berhubung perkara itu sudah dibangkitkan kepada mereka kira-kira dua bulan lalu dan siasatan mendapati, semua tuntutan yang dikemukakan WPC mereka termasuk APEX dan RKR dibayar tanpa keraguan atau berlengah, selain tiada bayaran tertunggak bagi mana-mana atau semua kerja yang dilakukan kepada mereka, setakat ini.
"Isu bayaran yang dihadapi subkontraktor CRCC17 tiada kaitan dengan SULRT3, namun SULRT3 sedang mencari penyelesaian yang mungkin dan ke hadapan bagi membantu semua pihak untuk mendapatkan mana-mana atau semua pembayaran mereka yang belum selesai," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hari ini, media melaporkan, sekumpulan wakil subkontraktor dan pembekal tempatan yang terbabit dalam Projek LRT 3 Pakej GS05 dan GS06 mengadakan demonstrasi aman di hadapan sebuah stesen minyak dekat Seksyen 1, Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur.
Demonstrasi itu bagi menuntut supaya pihak CRCC17 melunaskan bayaran berjumlah lebih RM25 juta kepada mereka, selepas lebih setahun tertunggak.
Wakil subkontraktor dan pembekal itu dilantik CRCC17 untuk 'Projek Membina dan Menyiapkan Laluan, Stesen, Park and Ride, Bangunan, Ancillary dan Kerja-kerja Berkaitan Lain Bagi Pakej GS05 dan GS06 Laluan LRT 3 dari Bandar Utama ke Johan Setia, Klang.
Sumber: Berita Harian
Comments