KUALA LUMPUR: Sebanyak 5,650 unit rumah gantian khusus bagi golongan B40 dibina menerusi Projek Penswastaan Pembangunan Semula Pangsapuri Kos Rendah Sri Pulau Pinang, Sri Melaka, Sri Johor dan Taman Ikan Emas di Bandar Tun Razak, Cheras, di sini.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, daripada jumlah itu, 859 milik individu manakala 4,791 lagi merupakan unit sewaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Projek di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan melalui kerjasama awam-swasta itu bertujuan menaik taraf kehidupan penduduk dengan persekitaran kediaman yang lebih selesa kerana setiap unit rumah sedia sudah menjangkau usia setengah abad, selain memiliki keluasan rumah yang kecil dan kekurangan fasiliti asas seperti lif, surau dan dewan.
"Unit baharu berkeluasan 850 kaki persegi itu turut dilengkapi dengan kemudahan lain seperti surau, tadika, dewan, unit kedai dan pejabat pengurusan," katanya dalam sidang media mengenai projek berkenaan selepas meluangkan masa kira-kira sejam melawat tapak dan memantau tahap kemajuan pelaksanaan projek itu, di sini, pada Selasa.
Dr Wan Azizah berkata, Projek Penswastaan Pembangunan Semula itu mempunyai dua fasa pelaksanaannya melibatkan kos sejumlah RM1.19 billion di atas kawasan berkeluasan 55.948 hektar (138.25 ekar).
"Fasa Satu yang membabitkan 1,192 unit, kini sedang dalam pelaksanaan termasuk kerja-kerja pengalihan utiliti bermula sejak Julai 2022, selepas penyelesaian isu-isu tanah yang mengambil masa beberapa tahun, dijangka siap 2026.
"Fasa Kedua pula akan bermula selepas penyiapan dan pembangunan Fasa Satu diserahkan kepada DBKL. Setiap fasa pembangunan mengambil masa selama empat tahun dan dijangka siap pada 2030," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Sub Zon Satu Pangsapuri Kos Rendah Parlimen Bandar Tun Razak, Hanafiah Md Amin bersyukur apabila projek pembangunan semula yang ditunggu-tunggu akhirnya tercapai.
"Alhamdulillah, akhirnya impian kami (penduduk) menjadi kenyataan, tambahan pula projek ini sebenarnya sudah lama dirancang iaitu sejak empat pilihan raya umum yang lepas. Kami sememangnya menanti-nantikan saat ini ," katanya.
Sumber: Astro Awani
Pembangunan semula pangsapuri di Cheras babit lebih 5,000 unit
Commentaires