KUALA LUMPUR, 17 Okt: Cadangan pembangunan ruang sosial dan fizikal di kawasan Rukun Tetangga (KRT) bagi perumahan strata kos rendah di bandar diluluskan.
Keputusan ini dicapai dalam Mesyuarat Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) Bil 2/2024 yang diadakan hari ini yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan dihadiri Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang serta 12 ahli majlis yang terdiri daripada tokoh masyarakat.
Menurut kenyataan Kementerian Perpaduan Negara (KPN), langkah ini bertujuan memperkasa dan mengukuhkan hubungan serta pembangunan komuniti di Malaysia melalui penyediaan ruang sosial dan fizikal yang berfungsi sebagai tapak integrasi selaras dengan usaha Pemerkasaan KRT Progresif.
“Kawasan perumahan strata kos rendah ini dipilih berdasarkan saranan dan persetujuan antara Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), pengerusi KRT, Badan Pengurusan Bersama (JMB) serta penduduk yang terlibat dalam projek ini.
“Pemilihan tapak adalah berdasarkan keaktifan dan penglibatan positif KRT serta penduduk setempat, kawasan yang padat penduduk dan kawasan perumahan strata yang kekurangan ruang komunal atau ruang yang sedia ada perlu penambahbaikan selaras dengan keperluan semasa.
“Projek ini diharapkan dapat memperkasa komuniti dengan menyediakan ruang untuk berkumpul, berinteraksi dan melaksanakan pelbagai aktiviti yang dapat memupuk semangat kejiranan,” menurut kenyataan tersebut.
Selain itu, MPPN juga membincangkan Kajian Pembangunan Model Kesepaduan Sosial di Sabah dan Sarawak yang dijalankan oleh pasukan penyelidik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Kajian ini mendapati tahap kesepaduan sosial di Sabah dan Sarawak berada pada tahap yang tinggi. Oleh itu, hasil kajian ini boleh dijadikan panduan untuk memperkukuhkan perpaduan dan integrasi nasional,” jelas kenyataan tersebut.
Dalam mesyuarat sama, ahli MPPN sebulat suara memilih Tan Sri Lee Lam Thye sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kecil MPPN yang bertanggungjawab memantau dan menangani isu berkaitan hasutan serta kenyataan yang berbaur hasutan yang boleh mengganggu gugat keharmonian dan kesepaduan masyarakat.
Sumber: TVS
Comments