KOTA KINABALU - Pembangunan bersaiz mega tidak diluluskan dengan mudah tanpa sebarang pematuhan yang dikenakan oleh pihak tertentu demi menjaga kelestarian alam sekitar di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, setiap pembangunan yang dilakukan akan menyentuh mengenai alam sekitar terutama membabitkan projek mega yang ingin dilaksanakan.
"Saya beri contoh, pembangunan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo merupakan salah satu projek mega yang kita rancang dan reka bentuk jajarannya turut melalui satu proses makmal pengurusan nilai di mana semua pihak atau jabatan yang terlibat seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Hidupan Liar (JHL) dipanggil untuk mengutarakan pandangan masing masing mengenai cadangan pembinaan lebuh raya ini.
"Di Telupid ada jajaran Pan Borneo melalui satu hutan simpan jadi untuk kita melaksanakan kerja-kerja membangunkan jajaran tersebut mematuhi syarat yang dikenakan oleh JAS, JHL dan sebagainya.
"Ini bagi memastikan pembangunan terus dilakukan dengan impak yang terkawal terhadap alam sekitar dan hidupan liar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program Dialog Siswa yang berlangsung di Dewan Al-Bukhari, UiTM Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu pada Khamis.
Dialog Siswa kali ini dihoskan oleh anak tempatan, Safwan Sawi dan turut menampilkan seorang lagi panel iaitu Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah, Datuk Masiung Banah.
Mengulas lanjut, Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya turut memberi contoh mengenai pembinaan empangan di Papar yang sebelum ini mendapat tentangan daripada pihak badan bukan kerajaan (NGO).
"Bagaimanapun, kajian kemungkinan sedang dijalankan untuk memastikan bahawa empangan tersebut dibina dengan mengambil kira impak sosial dan impak alam sekitar dapat dimaksimumkan hasil daripada pembangunan tersebut.
"Ingin saya kongsikan kepada pelajar bahawa dalam perkembangan teknologi yang ada sekarang, semuanya berkaitan dengan alam sekitar dan kita sedar tentang pengaruh atau kesan perubahan iklim," katanya.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Putatan menegaskan bahawa apa juga pembangunan dan reka bentuk tetap akan mengambil kira kesannya kepada alam sekitar.
Sumber: Sinar Harian
Pembangunan mega di Sabah ambil kira kelestarian alam sekitar
Comments