top of page

Pemaju Forest City nafi hentikan pekerja besar-besaran


Lakaran pembangunan empat pulau buatan 'Forest City' di Iskandar Malaysia seluas 1,386.05 hektar dengan pelaburan bernilai RM177 bilion (S58.3 bilion) untuk tempoh 20 tahun.

KUALA LUMPUR: Country Garden Malaysia Singapore Region (CGMSR) menafikan melaksanakan pemberhentian pekerja secara besar-besaran bagi projek pembangunannya di Malaysia termasuk Forest City seperti yang dilaporkan media sebelum ini.


CGMSR berkata, seperti projek pembangunan yang lain di Malaysia, kumpulan juga bergantung kepada penggunaan pekerja mengikut fasa yang diperlukan.


Katanya, pembangunan sesebuah projek mempunyai fasa yang berbeza, justeru itu apabila memasuki fasa baru akan kelihatan berlakunya pengurangan pekerja.


Namun katanya, ia tidak menggambarkan CGMSR melaksanakan pembuangan pekerja dalam skala yang besar seperti di dakwa oleh laporan media.


"Pada peringkat awal pengembangan projek, kita cenderung untuk fokus pada reka bentuk pembinaan, pengurusan projek, dan pengurusan pembinaan.


"Penggunaan sumber manusia dengan tujuan pengembangan perniagaan teras yang berbeza pada tahap yang berlainan adalah kaedah pengurusan yang wajar bagi perniagaan untuk bertindak balas terhadap perubahan pasaran dan pembangunan.


"Pada akhir 2019, perniagaan utama kumpulan adalah memberi tumpuan kepada operasi dan pengurusan bandar pintar, oleh itu, jumlah tenaga kerja adalah berdasarkan transformasi perniagaan ini," katanya kepada BH.


Ia adalah maklum balas susulan laporan sebuah media antarabangsa bahawan CGMSR melaksanakan pembuangan pekerja secara besar-besaran setelah berdepan kerugian disebabkan kekurangan jualan hartanahnya.


CGMSR menjelaskan, sejak pandemik COVID-19 melanda negara pada 2020, sebilangan pekerja asingnya terutama dari China ingin pulang ke negara mereka dengan segera.


Kumpulan katanya menghormati kehendak pekerja dan membuat pengaturan pertukaran yang diperlukan dengan syarat tidak menjejaskan operasi kumpulan.


Kumpulan juga katanya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan negara dalam menangani masalah berkaitan pekerja.


"Dalam situasi hari ini, kekuatan keseluruhan kumpulan, pekerja dan operasi masih kekal pada standard biasa, dengan jumlah yang stabil.


"Tetapi kumpulan tidak menafikan pandemik yang berlaku ini memberi kesan kepada pembinaan dan operasi projek CGMSR.


"Walaupun begitu, ia tidak mengubah tekad dan kepercayaan kumpulan dalam meneroka pasaran tempatan," katanya.


CGMSR berkata, jualan projeknya juga menunjukkan perkembangan yang stabil ketika pandemik dengan antaranya pembinaan 30,000 unit di Forest City.


Kumpulan juga katanya mengoptimumkan platform digital dengan memperluaskan perkhidmatan seperti penjualan dalam talian, lawatan maya dan tontonan langsung untuk pelanggan yang tidak dapat mengunjungi Forest City secara fizikal.


Sumber: Berita Harian

Kommentare


bottom of page