GEORGETOWN: Citizen Awareness Chant Group (Chant) mendedahkan pemaju hartanah bersikap besar kepala dan tidak menghormati keputusan kerajaan negeri.
Penasihatnya, Yan Lee, berkata pemaju berkenaan didakwa seolah-olah mengingkari tindakan kerajaan negeri yang memutuskan untuk mengekalkan nama Pulau Jerejak walaupun ia akan dibangunkan kelak.
“Pihak pemaju terbabit memaparkan nama ‘Queens Island atau sebelum ini dikenali sebagai Pulau Jerejak’ dalam risalah pembangunan Pulau Jerejak, yang sudah disebarkan kepada umum.
“Perkara itu dilihat tidak sepatutnya dilakukan oleh pemaju terbabit dan jelas, pemaju itu bersikap besar kepala,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Minggu lalu, kerajaan negeri mengesahkan tidak akan menukar nama Pulau Jerejak kepada Queens Island seperti yang dinyatakan pemaju, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri, Zairil Khir Johari, dilaporkan berkata kerajaan negeri masih belum menerima apa-apa permohonan yang berkaitan dengan perubahan nama pulau berkenaan.
Kenyataan kerajaan negeri susulan aduan aktivis warisan sebelum ini yang mendedahkan Pulau Jerejak akan ditukar nama kepada Queens Island sebagai imej baharu pulau yang akan dimajukan dengan pembangunan itu.
Sementara itu, Yan Lee turut menyelar tindakan pemaju bagi pembinaan projek tiga jalan utama di negeri ini, yang didakwa sengaja menyembunyikan 59 syarat yang termaktub dalam Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).
Katanya, 59 syarat itu sepatutnya didedahkan kepada awam pada semua program jelajah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang dianjurkan kerajaan negeri.
“Sehingga kini tiada sesiapa yang tahu apa 59 syarat yang perlu dipatuhi pemaju. Kita bimbang, kerana ia turut membabitkan kepentingan rakyat,” katanya.
November lalu, kerajaan negeri mengesahkan pemaju bagi tiga jalan utama berkenaan menerima kelulusan EIA dan perlu mematuhi 59 syarat.
Tiga jalan berkenaan meliputi Jalan Berkembar Pesisiran Pantai Utara dari Tanjung Bungah – Teluk Bahang, Jalan Pintas Air Itam – Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu dan Jalan Pintas Persiaran Gurney – Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.
Sumber: Berita Harian
Kommentare