top of page

Pemain industri pembinaan kena manfaat teknologi



INDUSTRI pembinaan memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara. Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, sektor ini merekodkan nilai kerja pembinaan RM37.4 bilion pada suku tahun pertama 2019.


Bagaimanapun, pelbagai masalah wujud berkaitan industri ini. Antaranya kekurangan kualiti dan produktiviti, kekurangan tenaga pekerja dan keselamatan pekerja terancam.


Cabaran lambakan pekerja asing, aspek keselamatan dan kesihatan (OSH) di tapak bina, isu 3D (kotor, bahaya dan sukar) serta bencana (banjir, gempa bumi, wabak penyakit) turut memberi kesan negatif kepada pengurusan aktiviti projek pembinaan.


Senario terkini, Malaysia seperti negara lain terkesan penularan pandemik yang menjejaskan pertumbuhan ekonomi, kewangan dan sosial. Industri pembinaan turut menerima impak.

Aktiviti projek terpaksa dihentikan atau ditangguhkan kerana mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Walaupun sudah kembali bernafas, perjalanan industri kini tidak lagi sama kerana perlu mematuhi normal baharu ditetapkan bagi membendung penularan wabak.


Sebelum ini, penggiat industri perlu mengikut syarat pematuhan dikeluarkan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dalam melaksanakan aktiviti pembinaan di Malaysia.


Kini disebabkan pencegahan COVID-19, prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pula wajib dipatuhi.


Yang pasti, bagi industri pembinaan aspek '3S' yang merujuk sesak, sempit dan sembang dekat antara mengundang cabaran.


Penting untuk pekerja sektor 3D mengelak tempat sesak di tapak bina dan tidak berkumpul beramai-ramai ketika melakukan tugas atau bersosial.


Sebagai contoh di kantin, perlu dipastikan tiada kesesakan dan amalan penjarakan sosial dipatuhi. Aspek kebersihan tapak bina juga perlu dititikberatkan, begitu juga di tempat tinggal pekerja atau 'kotai'.


Budaya sembang dekat ketika melakukan kerja projek hendaklah dikawal sebaik mungkin bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi antara pekerja.


Di sebalik cabaran baharu, industri pembinaan perlu memanfaatkan peluang sedia ada bagi menggiatkan aktiviti pengurusan projek pembinaan agar seimbang dan selari saranan kerajaan untuk membendung wabak COVID-19.


Penggunaan teknologi di pasaran perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam membantu pengurusan projek.


Sebagai contoh teknologi sedia ada seperti sistem binaan berindustri (IBS), Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), serta teknologi berasaskan Revolusi Industri Keempat (IR4.0) seperti robotik, automosi, data raya, internet kebendaan (IOT), realiti maya (VR) dan kecerdasan buatan (AI) antara boleh diadaptasi dalam aktiviti pembinaan di Malaysia.


Namun yang penting pengaplikasian optimum teknologi hendaklah digiatkan dan diaktifkan.


Antara peluang penambahbaikan boleh diketengahkan dan dipraktikkan dalam pengurusan projek pembinaan adalah melalui '3S' iaitu 'skil', 'sistematik' dan 'selesa'.


Skil merujuk peluang bagi memantapkan kemahiran penggunaan teknologi terkini dalam pengurusan projek pembinaan.


Penggiat industri pembinaan perlu mengambil peluang meningkatkan skil pekerja supaya berkemahiran dalam penggunaan teknologi terkini dalam melaksanakan aktiviti projek pembinaan.


Sistematik pula bermaksud peluang memantapkan pelaksanaan aktiviti pengurusan projek pembinaan dengan lebih sistematik melalui penggunaan teknologi terkini.


Aktiviti projek pembinaan dapat dijalankan secara teratur melalui penggunaan teknologi terkini dan mudah diaplikasi.


Dalam konteks selesa pula, peluang memantapkan keselesaan tapak bina ketika melakukan aktiviti projek pembinaan melalui penggunaan teknologi terkini bagi menggantikan kaedah dan juga peralatan yang biasa dipraktikkan bagi pengurusan projek pembinaan.


Ia juga dapat mengubah stigma industri pembinaan daripada 3D kepada yang lebih lestari.


Kesimpulannya, pandemik COVID-19 memberi impak besar terhadap proses kerja bagi setiap sektor ekonomi, termasuk pembinaan.


Secara umumnya, kejayaan sesuatu projek dipastikan melalui pengurusan berkesan dengan pencapaian kos, masa dan kualiti ditetapkan dalam kontrak pembinaan.


Industri pembinaan sebenarnya boleh mengaplikasi teknologi sedia ada bagi membantu aktiviti projek agar lancar dan berkesan.


Justeru, penggiat industri pembinaan diharapkan lebih berinovasi bagi mengatasi cabaran dan membina peluang dalam melakukan kerja pembinaan.


Pensyarah Jabatan Pengurusan Pembinaan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)



45 views

Comentários


bottom of page