KUALA LUMPUR: Projek melebarkan jalan dan pembinaan terowong di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) bernilai antara RM1.7 bilion hingga RM2.1 bilion, hanya penyelesaian jangka pendek untuk mengatasi isu kesesakan di lebuh raya itu.
Pakar pengangkutan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Law Teik Hua, berkata pelebaran jalan berupaya mengurangkan kesesakan di lebuh raya itu, terutama ketika musim perayaan, namun tidak mengatasi masalah berkenaan sepenuhnya.
Katanya, pelebaran jalan itu secara tidak langsung akan menarik lebih ramai pengguna jalan raya menggunakan Lebuhraya KLK dan menyebabkan kesesakan baharu pada masa depan, selain berisiko meningkatkan nahas jalan raya.
"Projek ini sesuai untuk penyelesaian jangka pendek tetapi kita tidak boleh mengharapkan pelaburan besar ini mengatasi sepenuhnya masalah kesesakan.
"Apabila lorong dibesarkan, kesesakan akan berkurangan namun ia juga mengundang masalah baharu yang mana kenderaan akan dipandu lebih laju apabila laluan lebih lancar, sekali gus berisiko meningkatkan kes nahas jalan raya.
"Justeru, kos RM1.7 bilion ini tidak boleh hanya fokus pelebaran jalan dan pembinaan terowong tetapi juga perlu merangkumi penambahbaikan aspek keselamatan di Lebuhraya KLK," katanya kepada BH, hari ini.
Kelmarin, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, dilaporkan berkata, kerajaan meluluskan peruntukan RM1.7 bilion untuk melaksanakan projek melebarkan lorong dan pembinaan satu terowong di Lebuhraya KLK, bertujuan mengurangkan kesesakan terutama pada musim perayaan.
Namun pada 19 Mei lalu, Abdul Rahman memaklumkan peruntukan diluluskan bagi projek itu adalah RM2.1 bilion, dijangka bermula Julai depan dan siap pada 2027, setahun selepas Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) siap dibina.
Ia membabitkan pelebaran tiga lorong kepada empat lorong sehala bagi Seksyen 1 dari Plaza Tol Gombak ke Bukit Tinggi, serta penambahan dua lorong kepada tiga lorong sehala bagi Seksyen 2 dari Bukit Tinggi ke Plaza Tol Bentong.
Projek yang akan dilaksanakan ANIH Berhad selaku pemegang konsesi Lebuhraya KLK itu juga membabitkan pembinaan terowong dua lorong baharu bersebelahan terowong sedia ada di laluan arah Timur, selain penyediaan lampu jalan di sepanjang jajaran berkenaan.
Teik Hua menegaskan, penyelesaian jangka panjang ialah menggalakkan pengguna jalan raya menggunakan pengangkutan alternatif khususnya ECRL yang dijangka siap dibina pada hujung 2026.
Sementara itu, Ketua Pusat Penyelidikan Pengangkutan Universiti Malaya (UM), Dr Yuen Choon Wah, berpandangan projek itu akan meningkatkan kapasiti Lebuhraya KLK selaras peningkatan kenderaan, sekali gus mengurangkan kesesakan.
Katanya, projek itu perlu dilihat sebagai langkah penyelesaian yang melengkapi ekosistem pengangkutan ke Pantai Timur, khususnya sementara menunggu ECRL siap dibina.
"Ketika ini, Lebuhraya KLK adalah laluan utama menghubungkan Lembah Klang dengan Pantai Timur dan ia satu-satunya projek yang boleh dilaksanakan untuk mengurangkan kesesakan di situ.
"Namun, pelaksana projek perlu pastikan ada rancangan pengurusan trafik yang baik ketika pembinaan berjalan untuk memastikan kesesakan tidak bertambah teruk atau menjadi kritikal akibat penutupan jalan.
"Jika satu lorong ditutup ketika pembinaan, mereka perlu pastikan ada lorong ganti menerusi laluan kontra bagi memastikan jumlah lorong kekal seperti sedia ada dan meminimumkan kesesakan akibat pembinaan," katanya.
Untuk jangka panjang, Choon Wah menggesa kerajaan memastikan mod pengangkutan alternatif seperti ECRL dan kapal terbang tersedia dengan kos yang kompetitif berbanding penggunaan kenderaan di jalan raya.
"Kita boleh galakkan orang guna mod pengangkutan alternatif, tapi pastikan ia tersedia dahulu, antaranya selepas ECRL siap dibina dan jumlah penerbangan ke Pantai Timur bertambah.
"Kos juga perlu seimbang antara setiap pengangkutan.
"Mungkin selepas semua pengangkutan tersedia, kerajaan boleh naikkan tol dan turunkan kos penerbangan untuk menarik orang ramai menggunakan mod pengangkutan selain kenderaan persendirian," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments