top of page

Pelbagai projek bakal pacu pembangunan Kapit



KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing telah mengadakan mesyuarat bagi Projek Pembangunan Bahagian Kapit melalui aplikasi ‘Zoom’ di pejabatnya, pada Isnin.


Projek pembangunan tersebut merangkumi cadangan Pelan Utama Kapit, Bakun Lakefront Township dan Pelan Pulau Resort Tempatan termasuk Pelan Utama Belaga.


Jelas Tan Sri James, pelan utama untuk Kapit akan lebih kepada pejalan kaki dan kenderaan berat tidak dibenarkan masuk ke pekan tersebut.


“Bangunan tempat letak kereta akan dibina di pinggir pusat bandar.


“Dengan adanya jalan raya ke Kapit dari Sibu, akses ke pusat pengajian tinggi dan pusat kemahiran di Kapit akan bertambah baik,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.


Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh itu menambah, Kapit yang kaya dengan budaya dengan gaya hidup yang unik dapat membuka peluang untuk membudayakan tapak warisan untuk meningkatkan industri pelancongan Sarawak.


Manakala katanya, bagi projek Bakun Lakefront Township, ianya menggabung dan mengekalkan beberapa elemen warisan budaya, landskap dan perairan yang membentuk hierarki tarikan budaya dan persekitaran di sepanjang Tasik Bakun.


“Sukan air dan pelayaran akan dijadikan aktiviti utama tasik tersebut yang dapat menjadi daya tarikan pelancong dengan konsep Budaya, Pengembaraan dan Alam (CAN),” katanya.


Selain itu ujar beliau, rancangan utama untuk Belaga adalah bagi menangani masalah bangunan kerajaan yang usang dan kekurangan kemudahan awam.


Tan Sri James memberitahu, ia juga akan menyelesaikan masalah sistem jalan raya dan kekurangan tempat letak kenderaan di pusat bandar, sekaligus menyelesaikan masalah kekurangan perumahan dan kawasan rekreasi di Belaga.


“Ini bermaksud sistem jalan raya sekarang perlu ditingkatkan dengan pembinaan laluan alternatif baharu dan untuk memudahkan aliran lalu lintas.


“Ia juga menggabungkan kompleks pusat pejabat kerajaan dan kelengkapan rekreasi.


“Saya sangat kagum dengan setiap perancangan untuk Kapit yang dibentangkan hari ini (Isnin).


“Ini adalah rancangan pembangunan jangka panjang sehingga 30 tahun ke depan dan berharap dapat mengatasi masalah penyambungan dan akses dari segi infrastruktur serta telekomunikasi melalui rancangan pembangunan ini,” katanya.


Turut sama dalam mesyuarat tersebut ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Muda Utiliti Sarawak merangkap ADUN Belaga, Datuk Liwan Lagang, Ahli Parlimen Hulu Rajang merangkap Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Datuk Wilson Ugak Kumbong, ADUN Murum, Kennedy Chukpai Ugon, ADUN Pelagus, Wilson Nyabong Ijang, Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datu Ismawi Ismuni dan Pengarah Wilayah Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Joseph Belayong.


Sumber: SarawakVoice

10 views

Comments


bottom of page