SEREMBAN: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan diminta menyediakan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) untuk membolehkan ia dapat dilaksanakan sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata penyediaan OACP itu penting bagi membolehkan Pelan Anti Rasuah Negeri Sembilan (ARNS) dapat dilaksanakan sepenuhnya di semua peringkat pentadbiran di negeri ini.
Katanya, setakat ini Majlis Bandaraya Seremban (MBS) adalah PBT pertama yang sudah mempunyai OACP.
"Saya sudah minta semua PBT di Negeri Sembilan bersedia melaksanakan OACP ini agar Pelan Anti Rasuah Negeri Sembilan dapat dilaksanakan sepenuhnya di semua peringkat pentadbiran.
"Ini penting kerana sebagai negeri yang berjaya mencatatkan pelaburan luar antara tertinggi, maka pelan ini seharusnya diserapkan dan dapat dilaksanakan seberapa segera.
"Pelan ini dapat memberikan gambaran jelas dan keikhlasan kerajaan negeri dalam usaha memartabatkan slogan "Negeri Sembilan, Negeri Bebas Rasuah," katanya.
Beliau berucap merasmikan Majlis Penutup Bengkel Kefahaman dan Pematuhan Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di Hotel Palm Mall, di sini, petang semalam.
Yang turut hadir, Naib Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Amirhamzah Karim; Ketua Pegawai Operasi, Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRDCorp), Datuk Ariff Farhan Doss dan Yang DiPertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Sembilan, Mohd Noor Ihsan Mohd Alwi.
Seramai 700 peserta kalangan ahli DPMM Negeri Sembilan menyertai bengkel sehari itu.
Aminuddin berkata, kerajaan Negeri Sembilan amat komited dengan usaha membanteras gejala rasuah menerusi pelan ARNS yang menyediakan 58 inisiatif jangka panjang dan pendek.
Beliau berkata, keyakinan dan kepercayaan rakyat perlu dititikberatkan melalui penyampaian perkhidmatan yang berkualiti serta berintegriti.
"Peningkatan produktiviti dan penyampaian perkhidmatan yang responsif, cekap dan pantas dapat meningkatkan kredibiliti pentadbiran kerajaan negeri sekali gus memperkasa imej perkhidmatan awam.
"Ini tidak boleh dicapai dengan hanya penglibatan sebelah pihak, semuapemegang taruh perlu bersama berganding bahu serta menguatkan iltizam agar pembanterasan rasuah dan salah guna kuasa di Negeri Sembilan dapat dikurang dan berupaya dihapuskan," katanya.
Aminuddin berharap, semua pihak termasuk usahawan dan golongan peniaga perlu sama-sama dalam memberikan kefahaman serta kesedaran bahawa rasuah dan salah guna kuasa boleh memudharatkan kita semua.
"Perbuatan rasuah bukan saja bertentangan dengan tuntutan agama, malah boleh memusnahkan diri dan masa depan kita," katanya.
Sementara itu, Amirhamzah berkata, penganjuran bengkel berkenaan adalah antara usaha dilakukan DPMM membanteras salah guna kuasa disemua peringkat.
"Ini adalah tanggungjawab yang perlu dilakukan sebagai seorang majikan dan warga binaan, suka atau tidak ahli DPMM perlu sama-sama berusaha membanteras amalan rasuah ini," katanya.
Sumber: Berita Harian
Commentaires