LARUT – Sekumpulan pelajar dari Kampung Teras Ijok, Selama di sini terpaksa bergadai nyawa hampir setiap hari apabila perlu melalui jambatan yang telah runtuh untuk pergi dan pulang dari sekolah.
Mereka yang terlibat terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Redang Panjang dan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Masjid.
Hasil tinjauan Kosmo! mendapati, pelajar berkenaan terpaksa melalui jambatan itu yang merupakan laluan paling dekat untuk ke sekolah masing-masing.
Seorang penduduk, Khairul Zaman Kulup, 59, berkata, jambatan itu runtuh lebih setahun lalu dipercayai akibat dilalui jentera berat syarikat kontraktor baik pulih kabel elektrik.
Menurutnya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak berkenaan, namun tiada tindakan membaik pulih atau membina jambatan baharu dilakukan sehingga kini.
“Oleh kerana bimbangkan keselamatan pelajar, penduduk terpaksa membantu memikul basikal setiap kali melalui jambatan itu untuk ke sekolah.
“Selain itu, kira-kira 50 penduduk di kampung ini turut bimbang kerana sebuah lagi jambatan yang terletak kira-kira tiga kilometer dari lokasi itu hanya menanti masa untuk runtuh,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Khairul Zaman berkata, sekiranya jambatan kedua itu runtuh, penduduk sukar untuk keluar masuk kampung.
Seorang lagi penduduk, Abdul Razak Awang, 56, berkata, keadaan bertambah bahaya jika hujan lebat yang akan menyebabkan aliran air sungai menjadi deras.
“Walau apa keadaan sekalipun, pelajar yang hendak ke sekolah terpaksa melalui jambatan ini kerana ia merupakan laluan paling dekat,” katanya.
Rabisah Kernai, 52, pula berkata, penduduk berharap jambatan tersebut dapat dibina semula.
“Ini untuk kemudahan penduduk di sini melakukan urusan harian,” katanya.
Sumber: Kosmo!
Comments