top of page

PBT pertama warta had laju sekolah


Maimunah (tengah) ketika Majlis Pelancaran Projek Perintis School Road Safety Project SK Danau Kota 2 pada Rabu.
Maimunah (tengah) ketika Majlis Pelancaran Projek Perintis School Road Safety Project SK Danau Kota 2 pada Rabu.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negara ini yang mewartakan Zon Sekolah Had Laju 30 kilometer sejam (KM/J).


Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata langkah ini adalah selaras dengan visi Kerajaan MADANI yang menekankan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.


“Melalui pelaksanaan inisiatif ini, kita telah berjaya mencapai beberapa outcome yang membawa manfaat kepada warga setempat, terutamanya pelajar sekolah, antaranya termasuklah mencatatkan 41 peratus pengurangan kenderaan yang melebihi had laju 30 km/j dan 70 peratus pengurangan jarak lintasan pejalan kaki.


“Selain itu, turut dicatatkan adalah 57 peratus peningkatan kawasan untuk pejalan kaki dan 4.2 peratus peningkatan dalam aktiviti pejalan kaki telah direkodkan sejak penambahbaikan dilakukan, dengan lebih ramai penunggang basikal menggunakan lorong yang disediakan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Projek Perintis School Road Safety Project Sekolah Kebangsaan Danau Kota 2 di sini pada Rabu.


Hadir sama, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Pengarah Eksekutif (Perancangan), Datuk Zulkurnain Hassan; Guru Besar SK Danau Kota 2, Hazizan Hussain dan Pengurus (Regional Lead) Asia and Africa, Global Designing Cities Initiative, Kim Lua.


Projek perintis ini merupakan hasil kerjasama DBKL bersama Bloomberg Philanthropies Initiative for Global Road Safety dan Global Designing Cities Initiative yang mencerminkan pendekatan inovatif dalam meningkatkan keselamatan jalan raya, termasuk mengurangkan kelajuan kenderaan di sekitar kawasan sekolah; meningkatkan aksesibiliti yang selamat untuk pelajar dan pejalan kaki, dan mempromosikan pengangkutan mampan melalui reka bentuk infrastruktur yang mesra pengguna.


Maimunah berkata DBKL kekal komited memastikan usaha ini tidak terhenti di sini sahaja dan bercadang untuk memperluaskan inisiatif ini ke sekolah-sekolah lain yang akan dikenal pasti berdasarkan keperluan dan kesesuaian.


“Ia juga selaras dengan visi kami untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang lebih berdaya huni dan disayangi.


“Projek perintis ini juga merupakan salah satu langkah pertama dalam perjalanan kita untuk membina sebuah bandar raya yang inklusif, mampan dan selamat untuk semua.


Menurut Maimunah nahas jalan raya menyumbang kepada 3.8 peratus kematian dalam kalangan kanak-kanak bawah umur 14 tahun di Malaysia, menjadikannya salah satu punca utama kematian kanak-kanak menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia 2023.

Sumber: Wilayah Ku

Comments


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page