top of page

PBT, agensi kerajaan perlu ada unit landskap khusus


PBT, agensi kerajaan perlu ada unit landskap khusus
Gambar hiasan

PBT, agensi kerajaan perlu ada unit landskap khusus

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu mempunyai unit pembangunan dan pengurusan landskap yang khusus.


Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Suhardi Maulan, berkata unit yang diketuai arkitek landskap akan berperanan menyelenggara kawasan landskap dengan berkesan, termasuk menyelia elemen berkaitan pokok.


Katanya, arkitek landskap memerlukan kemahiran tinggi untuk merancang dan mereka bentuk tanaman termasuk meneliti landskap tumbuhan atau pokok dengan pemilihan tepat serta spesifikasi yang mantap.


"Sebagai persediaan berdepan kejadian pokok tumbang dan dahan patah sehingga menyebabkan kemalangan jiwa dan merosakkan harta benda, tiba masanya pihak berkenaan mewujudkan dasar dan garis panduan jelas terhadap reka bentuk dan penyelenggaraan pokok," katanya kepada BH, hari ini.


Sabtu lalu, tiga maut dan dua cedera manakala lima lagi terselamat dalam kejadian pokok menghempap dua kenderaan di Kampung Bukit Cina, Kok Lanas, Kelantan.


Insiden itu mengorbankan pasangan suami isteri, Nik Mohd Zulmi Ramli, 44, dan Nik Amirah Ab Rahman, 40, serta anak bongsu mereka, Nik Aishah Azzahra, berusia lima tahun, yang meninggal di tempat kejadian.


Dua lagi anak pasangan berkenaan, Nik Adilia Zulaikha, 11, dan Nik Adam Zarif, sembilan, cedera dan dirawat di Hospital Machang.


Berikutan itu, keluarga mangsa yang maut akibat dihempap pokok dalam kejadian ribut terbabit boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap PBT dan JKR.


Peguam kanan, Muhammad Hasif Hasan, dilaporkan berkata, ia berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 iaitu antara undang-undang yang membabitkan pengurusan PBT.


Suhardi berkata, garis panduan dan dasar itu seharusnya merangkumi ilmu berkaitan seni bina landskap dan arborikultur yang terkini.


"Hal ini boleh dibangunkan pakar daripada universiti tempatan dan agensi pelaksana, terutama Jabatan Landskap Negara. Sekarang bukan tiada, tetapi perlu diperkemaskan lagi," katanya.


Mengenai insiden orang awam terkorban akibat pokok tumbang atau dahan patah, beliau berkata, waris mangsa atau mangsa hidup berhak mengambil tindakan saman berikutan ia hak mereka dari sudut perundangan.


Bagaimanapun, katanya, banyak aspek perlu dilihat iaitu kesesuaian pemilihan pokok, spesifikasi cara penanaman, penyelenggaraan yang baik dan berkala.


"Jika ketiga-tiga perkara ini dilakukan, perlu juga mengambil kira faktor di luar kawalan seperti keadaan cuaca iaitu angin dan hujan," katanya.


Suhardi berkata, bagi aspek kesesuaian pemilihan pokok, pokok ditanam itu perlu dilihat sama ada bersesuaian dengan ruang yang ada, ekologi setempat, kekuatan fizikal, spesies pokok dari segi kemampanan cuaca dan kecantikan pokok.


"Bagi aspek spesifikasi serta cara penanaman, apa yang perlu dilihat ialah cara pokok ditanam, adakah ia boleh membuatkan pokok itu tumbuh dengan baik, tidak terbantut dari segi pertumbuhan, kekuatan pokok dan dahan.


"Mengenai penyelenggaraan yang baik dan berkala pula, ia bukan hanya membabitkan siraman dan pangkasan, namun perlu juga dilihat diagnosis pokok dari segi pereputan batang pokok dan dahan," katanya.


Beliau berkata, bagi tindakan perundangan, jalan raya di negara ini mempunyai tuan atau pihak yang bertanggungjawab contohnya, ada jalan di bawah tanggungjawab dan seliaan PBT, JKR dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).


"Justeru, tuan punya bertanggungjawab menjalankan ketiga-tiga bidang kerja terbabit. Selain itu, insiden kecelakaan pokok tumbang boleh terjadi di kawasan rekreasi dan hutan," katanya.


Katanya, pihak bertanggungjawab ke atas kawasannya perlu mempunyai keupayaan untuk menyelenggara pokok.


Bagaimanapun, katanya, persoalan yang timbul, adakah negara ini mempunyai kepakaran untuk ketiga-tiga perkara terbabit, bukan sahaja soal kecekapan tetapi adakah ia mencukupi.


Sumber: Berita Harian


PBT, agensi kerajaan perlu ada unit landskap khusus


Comments


bottom of page