top of page

PATI sanggup panjat bumbung mahu elak dicekup


Antara warga asing yang diperiksa menerusi Ops Bersepadu di Jalan Pudu Perdana, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR - Cubaan pekerja buruh warga asing memanjat bumbung semata-mata mahu bersembunyi dan menyelamatkan diri daripada ditahan pihak berkuasa hanya sia-sia.


Tindakan itu berjaya dipatahkan menerusi Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Kuala Lumpur bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sebuah tapak pembinaan di Jalan Pudu Perdana, di sini, hari ini.


Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, seramai 125 orang diperiksa dalam operasi kira-kira jam 11 pagi itu.


Katanya, hasilnya, 61 pendatang asing tanpa izin (PATI) bersama seorang lelaki tempatan disyaki majikan berusia lingkungan 20 hingga 40-an telah ditahan.


"Mengikut pecahan tangkapan PATI, 44 orang adalah warga Bangladesh, Indonesia (12), Myanmar (2), Pakistan (1), Vietnam (1) dan India (1).


"Antara kesalahan yang dikesan adalah tidak memiliki permit yang sah, tinggal lebih masa selain melanggar syarat pas," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.


Hamidi berkata, kes akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63.


Tambahnya, selain itu, beberapa kesalahan turut dikesan oleh agensi penguatkuasa lain seperti pembinaan rumah pekerja yang tidak mendapat kelulusan selain notis berkenaan keselamatan kebakaran serta pembiakan nyamuk.


"Operasi secara bersepadu ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kesalahan khususnya melibatkan PATI," katanya.


Sumber: Sinar Harian


Comments


bottom of page