SERI KEMBANGAN: Projek pemasangan cerucuk besi di tebing Jalan LP 1a/2 di Lestari Perdana, Bandar Putra Permai, di sini, dilakukan segera selepas kawasan itu disahkan berisiko susulan kejadian tanah mendap semalam.
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Infrastruktur Selangor, Izham Hashim, berkata kejadian yang berlaku itu tidak serius dan situasi semasa di kawasan terbabit masih terkawal.
Beliau berkata, pihak berkuasa termasuk Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBPJ) sedang menyiasat kejadian itu dan pemasangan cerucuk besi di tebing jalan itu dilakukan bagi memastikan tanah mendap tidak berulang.
"Cerucuk besi itu mula dipasang sejak malam tadi dan dijangka selesai dalam tempoh seminggu. Kita mahu pastikan tiada lagi pergerakan tanah berlaku yang boleh menyebabkan kejadian tidak diingini.
"Kita berbincang untuk mencari jalan penyelesaian jangka panjang. Memang ada laluan air di kawasan kejadian dan siasatan mengenai punca tanah mendap berlaku masih dijalankan.
"Memang kawasan ini berisiko tetapi kejadian yang berlaku tidak begitu serius, namun kita masih ambil langkah berjaga-jaga sebab tidak tahu lagi punca sebenar kejadian itu," katanya selepas melawat lokasi kejadian, hari ini.
Mengulas pampasan kepada pemilik lima kenderaan rosak akibat tanah mendap itu, Izham berkata, beliau akan membangkitkan perkara itu kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada mesyuarat EXCO negeri petang ini.
"Kita akan lihat apa bentuk bantuan boleh diberikan kepada mereka yang terkesan. Saya difahamkan kereta rosak adalah kenderaan pelanggan bengkel berdekatan.
"Alhamdulillah, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden itu," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments