GEORGETOWN: Tiada bukti setakat ini mengesahkan bahawa bau busuk serta pencemaran selut di Pantai Esen, dekat Permatang Damar Laut di sini, berpunca daripada kerja penambakan Pulau Silikon.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata laporan media mengenai perkara itu tidak sepenuhnya tepat, namun pihaknya masih menunggu keputusan akhir ujian makmal sampel dari pantai berkenaan yang akan disahkan oleh agensi teknikal.
Sehingga kini, katanya masih tiada bukti yang menunjukkan bahawa punca pencemaran disebabkan oleh kerja penambakan Pulau Silicon.
"Sementara menunggu keputusan akhir ujian makmal yang akan disahkan agensi teknikal, saya mohon semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu berkenaan," katanya melalui kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan pantai permata tersembunyi di Pulau Pinang itu dicemari selut dan bau busuk dipercayai berpunca projek tambakan laut terletak tidak jauh dari Pantai Esen sehingga ia kini kurang dikunjungi.
Selain menjejaskan pendapatan pengusaha sukan air, penduduk mendakwa hidupan laut seperti siput banyak ditemukan mati di pesisir pantai.
Terkini semalam, Pengerusi Perumahan dan Alam Sekitar, Datuk Seri S Sundarajoo mendakwa kejadian selut berkenaan mungkin berpunca aktiviti tambakan di pulau terbabit.
Dalam pada itu, Zairil berkata kerja penambakan bagi pembinaan Pulau Silikon berhampiran Pantai Esen itu mematuhi garis panduan Jabatan Alam Sekitar (JAS) termasuk Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) yang sudah diluluskan.
Selain itu, katanya langkah ketat juga diambil seperti penggunaan langsir kelodak dua lapis.
"Kita perlu faham kawasan berkenaan sememangnya kawasan lumpur semula jadi dan kejadian baru-baru ini juga berlaku atas faktor peningkatan alga.
"Alga bukan sesuatu yang terhasil daripada kerja penambakan dan pokok soalan lebih penting adalah bagaimana peningkatan alga ini boleh terjadi," katanya.
Mengulas lanjut, Zairil berkata, antara kemungkinan dikenal pasti ialah terdapatnya efluen dari hulu sungai berhampiran yang mengalir ke laut.
"Di kawasan sekitar juga terdapat beberapa aktiviti pertanian dan juga loji rawatan kumbahan.
"Pada masa sama, hasil tinjauan mendapati tiada alga terlekat atau membiak dalam kawasan langsir kelodak dan ia menunjukkan sumbernya bukan dari tapak projek tambakan Pulau Silikon," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments