Kuala Lumpur: Muehlbauer Technologies Sdn Bhd, anak syarikat Muehlbauer Group yang berpusat di Jerman menyumbangkan empat sistem bersepadu automasi bernilai RM200,000 kepada empat institusi pengajian tinggi di Malaysia.
Sistem yang dikenali sebagai unit replika Beckoff ini akan dimanfaatkan oleh Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Institut Malaysia-Jerman (GMI).
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud berkata, langkah itu menunjukkan syarikat multinasional besar seperti Muehlbauer Technologies memberi maklum balas positif terhadap permintaan kerajaan dalam usaha merapatkan jurang kemahiran antara pengetahuan industri terkini dan sukatan pelajaran universiti.
“Inisiatif ini akan menyumbang dalam pelbagai bentuk terutama membolehkan pensyarah dan pelajar membiasakan diri dengan teknologi terkini dalam industri,” katanya pada sidang media, semalam.
Azman berkata, Malaysia perlu bergerak pantas untuk memastikan negara berada pada landasan betul dalam mengadaptasi revolusi perindustrian keempat (IR 4.0).
“Kami sentiasa menggalakkan syarikat, termasuk penyedia perkhidmatan, supaya melabur dalam bakat dan teknologi bagi meningkatkan produktiviti dan keupayaan dan dalam masa sama membangunkan sendiri teknologi pada masa depan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Muehlbauer Technologies, Sekar Ramasamy berkata, sumbangan peralatan berkenaan bertujuan membantu pelajar menghadapi cabaran digitalisasi dan IR 4.0.
Sumber: Harian Metro
Comments