KOTA KINABALU: Tiga projek berkaitan bekalan air di Sabah mendapat perhatian Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen selepas disebut antara projek bermasalah dalam Laporan Audit Negara, baru-baru ini.
Projek terbabit adalah Menaik Taraf Sistem Bekalan Air, termasuk tangki simpanan bernilai RM133 juta dan Projek Bekalan Air Luar Bandar bernilai RM37 juta di Kampung Jaya Bakti serta Kampung Memanjang serta sekitarnya di Sandakan.
Satu lagi adalah Projek Bekalan Air Luar Bandar yang membabitkan dua Stesen Pam Penggalak di Kampung Semawang dan Kampung Lalasun di Sandakan.
Pengerusi PAC, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin bersama jawatankuasa melawat ketiga-tiga projek itu pada 29 September hingga semalam, sebelum mengadakan prosiding berhubung projek terbabit, di sini, hari ini.
Dua prosiding diadakan, masing-masing berhubung isu Pengurusan Air Negara di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), di sini dan isu berkaitan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak dan Sabah di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Dalam kenyataannya selepas prosiding di sebuah hotel di sini, Mas Ermieyati berkata lawatan kerja itu bagi melihat sendiri isu atau masalah pelaksanaan projek yang berbangkit dalam Laporan Audit Negara.
Menerusi lawatan di Projek Menaik Taraf Sistem Bekalan Air, termasuk tangki simpanan di Sandakan yang berada di bawah Pengurusan Air Negara (PAN) oleh PETRA, beliau berkata PAC dimaklumkan projek penaiktarafan keseluruhan lima tangki sudah siap dan sedang menunggu untuk diuji dan diterima daripada kontraktor kepada agensi.
Projek itu, katanya, membabitkan pemasangan paip air dan lima tangki, dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM133 juta.
Bagi Projek Bekalan Air Luar Bandar di Kampung Jaya Bakti dan Kampung Memanjang serta sekitarnya, Mas Ermieyati berkata projek yang bermula pada 2016 dan sepatutnya siap pada 9 September 2017, hanya siap sepenuhnya pada 13 November 2018.
"Bagaimanapun, terdapat beberapa komponen projek dalam sistem pam dan peralatan sokongan bagi sistem electro-chlorination (EC) serta sistem pemproses enap cemar yang rosak serta tidak berfungsi di Loji Rawatan Air (LRA) Jaya Bakti," katanya.
Mas Ermieyati berkata PAC turut dimaklumkan Projek Bekalan Air Luar Bandar yang membabitkan Stesen Pam Penggalak di Kampung Semawang dan Kampung Lalasun, Sandakan berdepan masalah kebocoran paip yang menyambungkan sumber air terawat dari LRA Segaliud berpunca daripada saluran paip berhampiran longkang yang ditenggelami air.
"Selain itu, kawasan LRA Bukit Garam, Kinabatangan, yang membekalkan air ke Kampung Semawang, belum mempunyai bekalan elektrik, menyebabkan LRA beroperasi menggunakan set generator yang sering mengalami kerosakan," katanya.
Berikutan itu, Mas Ermieyati berkata pada prosiding pertama hari ini, PAC mendengar keterangan dan penjelasan daripada Ketua Setiausaha PETRA, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli; Pengarah Bahagian Bekalan Air PETRA, Sulaiman Kamisan dan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Suhaimi Asbullah.
Bagi prosiding kedua, katanya ia membabitkan projek di bawah KKDW dengan dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KKDW, Mohd Kamal Hussin; Setiausaha Bahagian Prasarana, Ahmad Tuan Wil dan Suhaimi.
Menurutnya, dalam prosiding hari ini, PAC Parlimen turut menjemput PAC Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Peto Galim, untuk turut sama mendengar penjelasan daripada PETRA dan KKDW berhubung isu yang terbabit.
"Melalui perkongsian strategik ini, PAC Parlimen berharap projek yang dilaksanakan di Sabah dapat terus dipantau oleh PAC DUN Sabah," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments