top of page

Operasi MRCB tidak terkesan rasionalisasi subsidi diesel


Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB).

KUALA LUMPUR: Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) menjangkakan bahawa rasionalisasi subsidi bahan api diesel tidak akan menjejaskan kecekapan operasi, garis masa projek, penyampaian perkhidmatan atau asas kos syarikat.


Dalam satu kenyataan, pemaju hartanah itu mengakui bahawa pengumuman perubahan dasar telah menimbulkan pertanyaan dalam kalangan pihak berkepentingan mengenai potensi kesan ke atas operasi perniagaan kumpulan dan kos operasi pada masa hadapan.


"MRCB secara konsisten menggunakan bahan api diesel pada kadar komersial untuk semua projek pembangunan dan pembinaannya, termasuk yang diuruskan oleh subkontraktor.


"Oleh itu, penghapusan subsidi bahan api diesel tidak akan menjejaskan kecekapan operasi, garis masa projek, penyampaian perkhidmatan atau asas kos kami," katanya.


Kumpulan itu memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan bahawa MRCB kekal komited untuk menyampaikan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi pada harga yang kompetitif.


"MRCB dengan sepenuh hati menyokong inisiatif kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi sebagai sebahagian daripada pembaharuan ekonomi yang lebih luas yang diperlukan untuk memupuk pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan dalam jangka panjang," katanya.


Syarikat itu menambah, ia yakin langkah itu adalah kritikal dan akan menyumbang kepada kemakmuran semua rakyat Malaysia.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Perutusan Negara minggu lalu mengumumkan kerajaan bersetuju memperkenalkan penyasaran subsidi bahan api diesel yang akan hanya membabitkan pengguna di Semenanjung Malaysia.


Bagi mengelakkan sebarang kenaikan drastik dalam kos barangan dan perkhidmatan, Anwar berkata, subsidi diesel akan turut diberikan kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial tertentu.


Ia membabitkan 10 kategori pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barang, selain subsidi diesel kepada kategori nelayan tertentu dan bantuan tunai kepada pemilik individu kenderaan berenjin diesel yang layak.



Коментарі


bottom of page