KUALA LUMPUR: Cooling Energy Supply Sdn Bhd (CESSB), syarikat usaha sama (JV) Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memulakan operasi dan penyelenggaraan loji penyejukan daerah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1 Julai lalu.
TNB Engineering Corporation Sdn Bhd (TNEC), anak syarikat milik penuh TNB memiliki 70 peratus ekuiti dalam CESSB manakala anak syarikat milik penuh MAHB, Airport Ventures Sdn Bhd memegang baki 30 peratus ekuiti.
CESSB ditubuhkan tahun lalu bagi membekal tenaga elektrik dan penyejukan kepada lapangan terbang itu.
Di bawah Perjanjian Konsesi 20 tahun yang dimeterai kedua-dua pihak, CESSB akan mengendali, menyelenggara dan menaik taraf loji penyejukan daerah sedia ada yang juga antara yang terbesar di Malaysia.
Syarikat usaha sama itu juga akan menjual, mengagih dan membekalkan tenaga elektrik serta penyejukan kepada pelanggan di KLIA dan sekitarnya menggunakan teknologi moden, efisien dan berdaya harap.
Pengerusi TNEC, Lim Fu Yen, berkata kerjasama antara TNB dan MAHB melalui CESSB menyerlahkan aspirasi TNB untuk menjadi pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa.
"Kami yakin kerjasama ini akan menyumbang dengan ketara dan positif terhadap kepuasan pelanggan bagi penumpang yang menggunakan KLIA," katanya dalam satu kenyataan.
Kerjasama ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan TNB mempromosi dan membekalkan penyelesaian tenaga mampan kepada pelanggan, selaras dengan aspirasi untuk meningkatkan kualiti kehidupan menerusi penyelesaian yang inovatif dan mampan untuk dunia lebih baik.
Usaha sama ini adalah peritiwa penting bukan saja bagi TNB dan MAHB, malah untuk Malaysia kerana ia memodenkan loji penyejukan daerah di KLIA selain menyatukan keperluan tenaga di bawah pembekal yang sama memandangkan TNEC juga membekalkan tenaga elektrik dan penyejukan untuk KLIA2.
CESSB akan menaik taraf loji sedia ada yang berkuasa gas kepada loji yang menggunakan elektrik sepenuhnya.
Dengan itu, loji itu akan menghasilkan tenaga penyejukan dengan lebih cekap, seterusnya mengurangkan kos operasi KLIA sehingga lebih RM50 juta setahun.
TNEC adalah pakar dalam bidang kejuruteraan sistem tenaga mampan dan peneraju dalam bidang pembangunan, operasi dan penyelenggaraan loji penyejukan daerah serta projek solar
berskala besar dengan rekod cemerlang di Malaysia dan antarabangsa.
Selain menjalankan operasi dan penyelenggaraan enam loji penyejukan daerah di Malaysia, TNEC juga membina beberapa loji penyejukan daerah di Malaysia; dua di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE); serta tiga projek solar berskala besar di Malaysia.
Sumber: Berita Harian
Commentaires