KULAI: Kerangka Perjanjian Operasi (OA) baharu dengan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) akan dimuktamadkan Jun depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kerangka baharu berkenaan membolehkan pihak swasta bekerjasama dengan MAHB dalam membangunkan infrastruktur dan kemudahan di 39 lapangan terbang seluruh negara.
Katanya, ia sekali gus membolehkan kerajaan mengurangkan beban kewangan berikutan lapangan terbang seluruh negara perlu sentiasa dinaik taraf bagi memenuhi keperluan industri penerbangan dunia.
"Model pembangunan lapangan terbang dahulu memerlukan peruntukan dana kerajaan untuk dinaik taraf, namun apa yang kita nak galakkan sekarang ialah supaya swasta dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan infrastruktur negara.
"Kita sekarang ini nak galakkan pihak MAHB cari rakan strategik atau kerjasama untuk melabur dalam infrastuktur seperti untuk besarkan terminal, panjangkan landasan. Kita harapkan ada perbelanjaan modal dari swasta," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Stesen FedEx Express (FedEx) Johor, di Senai Airport City, dekat sini, hari ini.
Yang turut hadir Naib Presiden Operasi FedEx Express (FedEx) Asia Tenggara, Mark Shorney.
Sementara itu, Loke berkata, ketika ini kajian semula kerangka OA baharu sedang dilakukan bagi memberi fleksibiliti untuk pelabur membuat pelaburan dalam naik taraf lapangan terbang yang dikendalikan MAHB, berkembang pesat.
Jumaat lalu, kerajaan dilaporkan bersetuju untuk meluluskan permohonan MAHB untuk melanjutkan tempoh OA bagi mengoperasi, mengurus dan menyelenggara 39 lapangan terbang di bawah kendaliannya sehingga 11 Februari 2069.
Kerangka OA yang baharu akan dapat memberikan fleksibiliti kepada kerajaan dan MAHB dalam penyediaan peruntukan projek pembangunan lapangan terbang melalui beberapa model pembiayaan, dalam usaha kerajaan bagi menarik pelabur dari pihak swasta.
Ditanya mengenai cadangan Kerajaan Selangor menukar nama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang, beliau berkata pihaknya tidak menerima sebarang permohonan rasmi berhubung perkara itu.
Penjenamaan semula KLIA dibangkitkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana Selangor, Teng Chang Kim, untuk mencerminkan lokaliti KLIA yang terletak di daerah Sepang.
Dalam perkembangan lain, Loke berkata kajian kebolehupayaan projek membina hab pemindahan kapal ke kapal (STS) yang terbesar di dunia akan disiapkan dalam tempoh antara enam hingga 12 bulan.
"Pemaju projek, KA Petra Sdn Bhd diberikan kebenaran secara prinsipal untuk menjalankan kajian berkenaan.
"Lokasi pembinaan STS itu adalah di lokasi sedia ada, cuma kita merancang untuk mengembangkan operasinya dan menjadikannya sebuah hab," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments