RAMAI yang beranggapan tugas sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) adalah tugas mudah apabila hanya perlu duduk di pejabat untuk tandatangan kontrak, meluluskan projek dan menghadiri mesyuarat.
Apabila jam 5 petang, mereka akan pulang ke rumah berehat bersama keluarga tanpa memikirkan hal berkaitan syarikat. Demikian situasi yang biasanya digambarkan di dalam drama.
Namun hakikatnya, tugas sebagai CEO jauh berbeza seperti yang dipertontonkan di kaca televisyen.
Tugas sebagai seorang CEO sebenarnya jauh lebih mencabar kerana perlu bijak dalam menentukan hala tuju syarikat untuk terus berkembang dan kekal berdaya saing.
Lebih mencabar apabila tugas itu dipikul oleh seorang wanita yang pada masa sama mempunyai tanggungjawab menjaga keperluan suami dan tiga anak yang masih kecil.
Demikian cabaran yang dihadapi oleh Norliyana Roslan apabila mula memegang jawatan sebagai CEO ketika berusia 28 tahun di sebuah syarikat kontraktor berkaitan kejuruteraan elektrik sejak enam tahun lalu.
Ibu kepada tiga anak yang kini berusia 34 tahun berkata, beliau sama sekali tidak menyangka akan memegang jawatan itu (CEO) selepas bekerja selama lima tahun di sebuah syarikat minyak dan gas tempatan.
Katanya, selepas menamatkan pengajian dalam bidang ijazah kejuruteraan elektrik dan elektronik, beliau diterima bekerja di syarikat minyak dan gas di bahagian jualan dan pemasaran.
"Sebenarnya, saya lebih berminat untuk bertugas dalam bidang teknikal sehingga pernah cuba memohon pertukaran namun tidak berjaya.
"Biarpun begitu saya tetap penuhi amanah dengan memberi yang terbaik dalam segala tugasan yang diberikan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam baru-baru ini.
Menurutnya, beliau kemudian mendapat tawaran daripada bapanya untuk menjadi CEO di sebuah syarikat kontraktor berkaitan kejuruteraan elektrik.
"Pada mulanya, saya agak berbelah bahagi untuk menerima tugasan ini kerana ia jauh berbeza dengan tugas sebelum ini.
"Bagaimanapun sebagai anak sulung, saya mengambil keputusan untuk mengambil alih pengurusan syarikat. Keputusan itu juga dibuat kerana minat mendalam di bidang kejuruteraan," katanya.
Tambahnya menjadi seorang CEO pada usia yang muda bukanlah tugas yang mudah kerana semua hal berkaitan syarikat terletak di bahunya.
"Sebelum ini, sebagai pekerja, apabila cukup bulan hanya menunggu gaji masuk.
"Kini, saya juga perlu fikirkan bagaimana untuk mencari sumber kewangan mencukupi untuk membayar gaji 30 pekerja dan memastikan syarikat terus beroperasi. Setiap hari, saya perlu fikirkan mengenai syarikat.
"Tugas saya bukan sekadar duduk di pejabat, saya juga perlu turun padang bertemu dengan pelbagai pihak termasuk pelanggan dan pelabur untuk memajukan syarikat," katanya.
Katanya, pengalaman bertugas di syarikat lama banyak membentuk personaliti lain dalam dirinya termasuk kemahiran insaniah.
"Di sana saya banyak belajar bagaimana bercakap dengan pelanggan dan bagaimana untuk selesaikan masalah. Semua ini saya aplikasikan di tempat baharu dan di sini saya dapat membentuk kemahiran baharu untuk menguruskan pekerja.
"Antara cabaran memegang jawatan ini pada usia muda ialah berdepan dengan kakitangan yang lebih berpengalaman dan berpengetahuan. Bagaimana untuk dapat kepercayaan, bina hubungan serta bagaimana untuk membentuk pemikiran mereka untuk bersama-sama mencapai visi dan misi syarikat.
"Alhamdulillah dengan latar belakang teknikal yang dimiliki, saya dapat membiasakan diri dengan cepat," katanya.
Mengulas lanjut, untuk menjadi seorang ketua yang baik, seseorang itu perlu sentiasa berfikiran positif dan bersedia berdepan segala cabaran.
"Saya sendiri pun masih belajar untuk menjadi seorang ketua yang baik.
"Seseorang itu perlu ada seorang tokoh untuk dijadikan contoh. Selain itu, penampilan diri juga perlu dijaga, kerana saya membawa imej syarikat," katanya.
Jelasnya, sebagai wanita, beliau tidak kekok untuk bertugas dalam bidang yang majoriti didominasi oleh lelaki.
"Ketika mula diperkenalkan sebagai CEO, ada yang meragui kemampuan saya sebagai wanita. Namun saya tidak ambil pusing dengan membuktikan kemampuan untuk bersaing.
"Malah dalam syarikat ini majoriti kakitangan lelaki dan saya tidak menjadikan jantina sebagai penghalang untuk bekerjasama dengan mereka," katanya.
Norliyana mengakui berdepan cabaran kerana pada masa sama perlu menguruskan tiga anak masing-masing berusia 10, tujuh dan empat tahun tanpa pembantu rumah.
"Tidak mudah sebenarnya, kadangkala apabila terpaksa bekerja di luar kawasan termasuk Terengganu dan Johor, saya akan balik pada hari yang sama.
"Saya bersyukur suami juga sangat memahami dan mengambil tanggungjawab bersama-sama menjaga keperluan anak apabila saya sibuk dengan pekerjaan," katanya.
Ditanya mengenai perancangan masa depan, Norliyana berusaha mempelbagaikan sumber pendapatan syarikat untuk mengelakkan kebergantungan.
"Baru-baru ini, saya berjaya mendapat kontrak daripada sebuah syarikat minyak dan gas.
"Pada masa sama, saya nak cuba fokus dalam bidang peruncitan supaya dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan," katanya.
Sumber: Harian Metro
Comments