KOTA KINABALU: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) disaran meningkatkan kerjasama strategik dan menjadi peneraju keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di Borneo serta negara jiran yang bakal menjadi kawasan pertumbuhan baharu di rantau ASEAN.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud, berkata tidak mustahil untuk NIOSH menjadi peneraju KKP di rantau ini berdasarkan pengalaman dan kemahiran yang dimiliki institut itu.
Beliau berkata, NIOSH memiliki pelbagai kemudahan dan perkhidmatan ditawarkan melalui anak syarikatnya, NIOSH Certification yang setaraf dengan agensi antarabangsa.
Katanya, semua pihak berkepentingan perlu menggembleng tenaga dan menyokong usaha kerajaan meningkatkan tahap KKP di Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) yang merangkumi keluasan 1.6 juta kilometer persegi dengan anggaran 73 juta penduduk.
"Peruntukan besar yang sedang mengalir ke rantau ini sudah pasti membawa limpahan pembangunan pesat terutama dari aspek ekonomi dan fizikal.
"Namun, ia akan turut memberi cabaran baharu dari sudut sosial termasuk pembangunan sumber manusia dan risiko berkaitan KKP yang turut merangkumi kemalangan di tempat kerja dan kemalangan ketika berulang alik," katanya ketika merasmikan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Borneo Kali Kelapan (BOSH 2023), di sini, hari ini.
Program berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu turut dihadiri Pengerusi NIOSH, A Maniam dan Pengarah Eksklusif NIOSH, Ayop Salleh.
Beliau berkata, kerajaan juga melaksanakan pelbagai langkah persediaan berkaitan pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan Timur dan usaha melengkapi pelbagai projek mega pertanian serta hidroelektrik yang dirancang Kerajaan Indonesia di Kalimantan, yang bakal menjadi kawasan pertumbuhan baharu di bawah wilayah BIMP-EAGA.
Katanya, antaranya, kerajaan meluluskan peruntukan tambahan RM1 bilion bagi projek menaik taraf dan membina infrastruktur lebih baik di sepanjang sempadan Sarawak dan Sabah dengan Kalimantan, Indonesia.
"Kedudukan Sabah dan Sarawak yang diangkat kepada wilayah serta peruntukan pembangunan sebanyak RM12.1 bilion untuk kedua-dua wilayah ini di bawah Belanjawan 2023, membuktikan keprihatinan Kerajaan Perpaduan terhadap pembangunan ekonomi di rantau ini," katanya.
Sementara itu, beliau berkata tema yang dipilih sempena BOSH 2023 iaitu Transformasi Borneo untuk Masa Depan Lebih Berdaya Tahan amat bertepatan kerana ia memberi penekanan kepada ikhtiar secara holistik supaya segala dasar berkaitan KKP dan pelaksanaannya di Malaysia lebih manusiawi serta sentiasa ditambah baik menerusi musyawarah dan maklum balas rakyat.
Beliau berkata, segala ilmu, kepakaran dan pengalaman dikongsi dalam BOSH 2023 dapat membantu semua pihak menghadapi cabaran baharu KKP dan pada masa sama, memberi maklum balas untuk kerajaan merangka atau menambah baik polisi KKP sedia ada.
"Mereka yang terbabit pada persidangan sebegini akan turut membincangkan isu kritikal masa kini, seperti sistem sokongan kesihatan mental di tempat kerja dan cabaran dibawa teknologi masa depan.
"Hasil perbincangan dan sesi forum sepanjang persidangan pasti mampu membantu kerajaan merangka polisi baharu atau menambah baik polisi sedia ada demi menjamin kesejahteraan majikan dan pekerja," katanya.
Sumber: Berita Harian
NIOSH perlu tingkat kerjasama KKP dengan negara rantau ASEAN
Comments