top of page

Nilai Transaksi Hartanah Menurun

Oleh: Nur Hanani Azman

Nilai Transaksi Hartanah Menurun

KUALA LUMPUR 27 Dis. - Nilai transaksi hartanah menurun sejak 2014 seterusnya menyaksikan jumlah urus niaga hartanah dan harga rumah masih suram pada separuh pertama 2018.


Menurut data yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Hartanah Kebangsaan (NAPIC), jumlah jualan hartanah di Malaysia menurun sejak 2014.


Katanya, jumlah urus niaga pada separuh pertama 2018 menurun sebanyak 2.4 peratus tahun ke tahun kepada 149,889 unit manakala jumlah nilai urus niaga sebanyak RM67.74 bilion.


“Ia disebabkan oleh langkah-langkah penyejukan hartanah yang diperkenalkan oleh kerajaan dan mengetatkan kelulusan pinjaman perumahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Mengulas tentang itu, Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn. Bhd., Pong Teng Siew berkata, harga hartanah yang sedang mengalami kejatuhan bukan sahaja di dalam Malaysia mahupun luar negara dilihat berupaya untuk membetulkan pasaran hartanah yang tidak seimbang.


Beliau menyifatkan trend penurunan harga yang sudah bermula akhir sejak tahun lalu itu baik untuk orang ramai dalam jangka masa panjang tetapi tidak untuk jangka pendek.


Katanya, penurunan harga rumah pada awalnya bermula de­ngan rumah berkembar di Malaysia dan kini sudah melibatkan segmen perumahan lain.


“Bagaimanapun, perlu dii­ngati pemaju sebelum ini dibebani dengan kos tanah yang tinggi di samping permintaan spekulatif terhadap perumahan beberapa tahun yang lalu.


“Pihak terlibat perlu bertindak mengambil langkah untuk mengelakkan situasi pasaran hartanah yang tidak seimbang daripada berulang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Laporan Indeks Kediaman Bandar Raya Suku Ketiga 2018 oleh Knight Frank Global mendapati rumah kediaman di Kuala Lumpur mencatatkan kejatuhan buat pertama kali dalam tempoh setahun, menurut firma penyelidikan hartanah global.


Menurut laporan itu, harga hartanah di Kuala Lumpur jatuh seba­nyak 0.6 peratus daripada suku ketiga 2017 hingga suku ketiga 2018.


Selain Kuala Lumpur, bandar raya utama yang mencatatkan kejatuhan harga kediaman ialah London sebanyak -0.3 peratus, Melbourne (-1.5 peratus) dan Shanghai (-0.2 peratus).


Dalam senarai terbawah yang merangkumi 150 bandar di seluruh dunia, 44 bandar adalah dari Asia Pasifik iaitu Stockholm (-7 peratus), Tel Aviv (-8 peratus) dan Turin (-13 peratus).


ความคิดเห็น


bottom of page